Isnin, 27 Julai 2009

UNDANGAN PERSEMBAHAN SEBAGAI PENTAS 'REHEARSEL'

Dalam minggu ini sahaja, ada tiga undangan Program dan Majlis untuk persembahan deklamasi puisi. Semalam baru selesai saya membuat persembahan sebagai deklamator jemputan untuk Majlis Persembahan Amal Anjuran PUSPANITA Negeri Melaka bersama Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan tujuan beramal sambil menderma yang diadakan di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh. Persembahan pada sebelah siang semalam dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka dihadiri seramai lebih kurang 2000 tetamu pelbagai lapisan masyarakat baik anggota penjawat awam dan juga wakil-wakil dari Persatuan Rumah Anak Yatim dan OKU seluruh Negeri Melaka.

Tahniah kepada pihak penganjur kerana memberi pengisian yang bermakna pada hari tersebut. Saya berpeluang untuk mendeklamasikan dua buah puisi yang diambil dari Antologi Jamung Merdeka untuk persembahan tersebut iaitu sebuah puisi yang bertepatan dengan wadah penganjur yang bertemakan wanita iaitu Puisi Srikandi Merdeka karya Abdul Hadi Yusoff dan sebuah puisi yang akan saya pertaruhkan untuk ke Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Peringkat Kebangsaan pada pertengahan Ogos ini iaitu Mengenangmu Pejuang karya Sahrunizam Abdul Talib. Sekurang-kurangnya, persembahan semalam menjadi landasan mengadakan latihan dan 'rehearsel' tidak formal sebelum tarikh pertandingan bermula.

Ada satu lagi undangan persembahan pada pagi 31 Julai ini iaitu Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan di Dataran Seri Negeri anjuran Persatuan Bekas-Bekas Perajurit Negeri Melaka. Saya juga akan mengadakan persembahan melalui Tajuk Mengenangmu Pejuang, yang kebetulan juga saya tidak perlu menghafal puisi lain atau mencipta sajak lain kerana puisi Mengenangmu Pejuang amat sesuai dengan konsep Hari Pahlawan. Satu lagi 'rehearsel' akan tiba.

Begitu juga pada malam 31 Julai ini juga, YB Datuk Hj. Md. Yunos Husin, ADUN kawasan Ayer Molek ada mengundang saya untuk membuat persembahan deklamasi puisi sempena Program Penghayatan Kemerdekaan meraikan Anak Angkat dari Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor bertempat di kediaman beliau. PAda malam itu nanti, kemungkinan saya akan deklamasikan beberapa buah puisi dan semestinya Puisi Mengenangmu Pejuang tidak akan saya lupakan untuk dideklamasikan.

Kemungkinan sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur pada 13 atau 14 Ogos nanti, jika ada sebarang undangan persembahan deklamasi puisi, pastinya Puisi Mengenangmu Pejuang akan saya deklamasikan seberapa kerap yang mungkin untuk sebati dalam jiwa saya sebagai perjuangan ke Peringkat Kebangsaan nanti.

Makluman yang baru diterima daripada Saudara Sahrin Haron (Pegawai pengiring peserta Kuittho merangkap jurulatih) dan laporan daripada Saudara Azree Ariffin (wakil UiAM yang juga telah tewas di IPTA di peringkat saringan), mengatakan Juara Peringkat IPTA dalam SDPBM 2009 ialah wakil dari Universiti Malaysia Sabah, pelajar wanita katanya yang juga menjadi juara hasil daripada mendeklamasikan Puisi yang sama dengan saya semasa di Peringkat Negeri Melaka yang lalu iaitu Tun Perak. Di Peringkat Angkatan Tentera Malaysia juga, Juara Menanti Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid telah memberitahu saya bahawa beliau juga akan membawakan Puisi Tun Perak dengan corak persembahan dan koreograf kreatif beliau sendiri. Nampaknya, Puisi Tun Perak amat 'laris' pada tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan