Ahad, 19 Julai 2009

JUARA DALAM TRANSFORMASI


(Aksi sebagai Juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka)

Sebelum saya menulis entry terkini ini dengan lebih jauh lagi, saya hendak ucapkan tahniah terlebih dahulu kepada Chief Inspektor Mohd. Mahat yang juga menjadi juara PDRM pada 17 Julai lalu buat tiga tahun berturut-turut. Juga tahniah diucapkan kepada juara baru Negeri Sembilan, Pahang dan Putrajaya yang berlangsung pada minggu lalu. Kepada Saudara Amran Rashidi yang baru bertanding di Putrajaya Ahad lalu, jangan bersedih di atas ketewasan dek kesilapan teknikal alat siaraya yang kurang berfungsi di Putrajaya tempoh hari.


(Menggunakan ruang dan props yang tersedia dengan bijaksana)


(Gagah melangkah dengan aksi teaterikal)

Alhamdulillah...syukur saya yang tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T. Terima kasih diucapkan pertamanya kepada isteri tercinta yang juga selaku tunjang utama merangkap penasihat kostum dan jurufoto peribadi saya, kepada mak abah yang mendoakan dari Muar dan juga menyiapkan props untuk saya, kepada keluarga mertua yang memberikan sokongan padu tidak terhingga, kepada Achik dan Abang Cok Lah sekeluarga yang sudi menonton pertandingan, tidak dilupakan terima kasih saya ucapkan kepada Butik Mala yang sudi memberikan khidmat berkualiti dalam sewaan kostum Songket Bendahara berwarna biru ( Bulan Ogos ini saya sewa lagi ), kepada rakan-rakan pejabat dan juga seterusnya kepada sahabat handai para 'otai' Sayembara sekalian.


(Tun Perak lelaki melayu tokoh terulung di zamannya...)


(bijaksananya memikat ribuan orang datang berdagang...)

Lepas sudah lelah Sayembara Deklamasi Puisi dan Syair Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan pada 18 Julai 2009 ( Sabtu lalu ), jam 8.30 malam, bertempat di Dataran Seni Taman Budaya, JKKN Negeri Melaka di Ayer Keroh. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Berhormat Datuk Haji Othman Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Ketua 1 Persatuan Penulis Melaka ( PENAMA ) dan AJK Tertinggi GAPENA bersama-sama Yang Berbahagia Datin Hajjah Halimah Baba dengan diiringi Yang Berbahagia Encik Rodzuan Ismail, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka dan isteri.


( ...makmurnya tanah ini mengundang kuasa-kuasa Barat. )


(Saudara Zauwawi Che' Cob, Setiusaha PENAMA - Juruacara majlis)

Syukur dan rasa sangat gembira kerana saya telah berjaya dinobatkan sebagai JOHAN Kategori Puisi Peringkat Negeri Melaka yang secara langsung menjadikan saya penyandang gelaran Juara Peringkat Negeri Melaka selama tiga tahun berturut-turut
( sejak 2007 hingga 2009 ) melalui Puisi 'Tun Perak' karya Gunawan Mahmood. Dengan kemenangan itu, saya berjaya membawa pulang sebuah Plak, Hadiah Wang Tunai
RM 800.00, Koleksi Buku dan Sijil Penyertaan. Seterusnya juga, saya akan mewakili Negeri Melaka ke Peringkat Kebangsaan pada 14 hingga 17 Ogos akan datang.


(Pencabar terdekat Shahrul Mubarak Ahmad dengan Puisi Jamung Merdeka. Beliau pernah jadi Johan Negeri Melaka tahun 2004 dan 2006)


(Saudara Kurudevan, deklamator berbangsa India yang berbakat)


(.."den dah koba deket ekau jangan poi Melako. Kan dah kalah!" Inilah dia Saudara Zulkifli Md. Noor dari Negeri Sembilan yang juga bekas Juara Negeri Sembilan tahun 2000, 2003 dan 2005)


(Saudari Noor Ahmad menghayati Puisi Jamung Merdeka)

Walaupun tewas dalam Kategori Syair melalui Syair Bidasari dalam irama Narasi, namun tidak mengapa dan tiada rasa terkilan bagi saya kerana perjuangan untuk mengejar juara dalam Kategori Puisi adalah lebih penting kerana ia merupakan acara tradisi yang perlu dipertahankan selama lebih kurang 12 tahun semenjak saya bergelar deklamator dalam Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka ini. Tewas Syair pun, dapat tambah RM 100.00 lagi. Tahniah kepada Siti Nurizwani Jasni dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Perempuan Melayu Melaka yang menjadi Johan Kategori Syair melalui Syair Burung Punggok dalam irama Selendang Delima dan berjaya membawa pulang Plak, Wang tunai RM 500.00, Koleksi Buku dan Sijil Penyertaan.


(Inilah bakal wakil Melaka dalam Kategori Syair, Siti Nurizwani Jasni)


(Aksi saya dalam Syair Bidasari)


(Peti dibuka oleh tuan puteri...di hadapan Siti Bidasari...diambilnya suatu cembul baiduri...eloknya tiada lagi terperi...)

Dalam entry ini, banyak perkara yang hendak dikongsi, dikhabarkan dan dipaparkan mengenai trasnformasi dan kisah-kisah yang sempat terakam dalam kalbu ingatan saya semasa malam Sayembara Deklamasi Puisi dan Syair Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka.

Syabas dan tahniah kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka kerana telah mencipta kelainan dan transformasi seperti berikut :

1. Venue pertandingan yang lebih santai. Jika selama ini venue pertandingan diadakan seperti di Pentas Budaya Pantai Puteri atau di pusat membeli belah ternama di Bandaraya Melaka Warisan Dunia seperti di Melaka Mall atau di Dataran Pahlawan, tetapi pada kali ini venue pertandingan diadakan di Dataran Seni Taman Budaya. Satu tempat yang lapang. Satu kejutan buat semua peserta kerana kebanyakan peserta menganggap pertandingan akan diadakan di dalam Panggung Seri Taman Budaya.

2. Konsep zero statik. Bagi mengelakkan persembahan kaku dan statik, kali ini para peserta diberi tugasan paling mencabar dek percubaan berani pihak penganjur dengan menggunakan 'cordless mic' bagi menggantikan penggunaan 'stand mic' yang membosankan.

3. Konsep tangga batu Rumah Tradisional Melaka, anjung rumah, halaman tangga dan dataran menggantikan pentas. Terpulang kepada para peserta menggunakan ruang-ruang tersebut dengan berhemah dan bijaksana bagi menampilkan pergerakan menarik dan menimbulkan konsep ala teaterikal. Alhamdulillah, saya berjaya menggunakan ruang tersebut dengan sebaiknya.

4. Penonton bersila sambil menonton. Konsep bersila di atas tikar, ruang 3 dimensi menjadi elemen untuk audiens menyaksikan persembahan peserta secara lebih santai sambil menikmati juadah ubi rebus.

5. Tiada keputusan Naib Johan dan Tempat Ketiga. Cuma Anugerah Johan diumumkan pada malam itu. Bererti para peserta yang tidak diumumkan adalah penerima hadiah saguhati.
Dengan cara ini mungkin juga ada baiknya untuk para peserta agak berlumba-lumba membuat yang terbaik. Bukan sekadar hanya berpuas hati jika mendapat tempat kedua atau ketiga.

6. Anugerah Potensi diperkenalkan. Anugerah ini juga dikenali sebagai Anugerah Khas Juri untuk dianugerahkan kepada bakat-bakat yang berpotensi dan dipertimbangkan sebagai deklamator yang mempunyai keistimewaan dalam persembahan walaupun bukan pemenang. Tahniah kepada Saudara Kamarudin Bakar dan Saudari Khaidatul Nadia Shaharom pemenang Anugerah Potensi Kategori Puisi dan Kategori Syair masing-masing berjaya membawa pulang RM 300.00 ( Kategori Puisi ) manakala RM 200.00 ( Kategori Syair ), Plak, Koleksi Buku dan Sijil Penyertaan.


(Aksi Kamarudin membawakan Puisi Kota Perjuangan)


(Alunan Syair dari Khaidatul Nadia Shaharom yang agak kurang menyengat berbanding Peringkat Saringan yang lalu)

7. Panel Juri di kalangan generasi muda. Kali ini tiada lagi panel juri di kalangan aktivis puisi veteran diundang dengan tujuan fokus kepada kelainan dan transformasi. Panel juri yang menghakimi pertandingan pada malam itu ialah Puan Norliza Md. Yamin - sorang aktivis puisi melayu tradisional Negeri Melaka yang juga Naib Johan SDPBM Peringkat Kebangsaan Tahun 1997, Encik Noerdin Ahmad atau Bob - Pegawai Kebudayaan JKKN Negeri Kedah yang juga Johan SDPBM Peringkat Kebangsaan Tahun 2001 dan Tuan Haji Zazmi Zain - Ketua Penerbit Rancangan Melaka Fm yang juga deejay popular radio dalam Rancangan Pujaan 10 Nescafe suatu ketika dahulu dan beliau juga merupakan Ketua Kumpulan Puisi Kota Kasturi yang sedang bergiat aktif di Kuala Lumpur dan Melaka.

8. Penggunaan props menjadi kriteria tambahan pemarkahan. Selain 8 aspek yang sedia ada dalam penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka, penggunaan props yang membantu persembahan amat diambil kira oleh panel juri selain penerbitan suara dan kaedah penyampaian secara teaterikal.


(Simbolik tepak sirih sebagai ilham)


(musuh datang ditewaskan dengan helah hulubalang...)

9. Persembahan selingan oleh pelbagai kumpulan kesenian seperti persembahan Kompang 'Shuffle' menyerikan acara pada malam itu.


(persembahan Kompang 'Shuffle')


(Persembahan Tarian Joget dan Inang dari Pelajar Kolej Yayasan Melaka)


(Persembahan Tarian Kipas menyerikan acara malam itu)

Selepas kesemua peserta ( 11 peserta Puisi dan 5 peserta Syair ) beradu nasib, acara selingan pada malam itu diserikan dengan persembahan medley Syair dan Gurindam oleh Puan Norliza Md. Yamin dan persembahan deklamasi puisi oleh Encik Noerdin Ahmad yang mendeklamasikan Puisi 'Kitalah Tuan' karya Hashim Yaakob dengan berkesan dan tepukan gemuruh penonton.


(Persembahan selingan deklamasi puisi mantap dari Noerdin Ahmad)


(Persembahan selingan medley Syair dan Gurindam oleh Norliza Md. Yamin)


(Saya menerima hadiah Juara Deklamasi Puisi dari YB Speaker DUN Melaka)

Dengar khabar juga, Sayembara Deklamasi Puisi dan Syair Merdeka 2009 Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 14 hingga 17 Ogos ini. Ada Saringan dan Akhir pula. Saringan akan diadakan di MATIC, Jalan Ampang dan Akhir akan diadakan di Angkasapuri. Cuma 6 peserta terbaik layak ke Pertandingan Akhir di Angkasapuri mewakili setiap kategori.


(Gambar kenang-kenangan bersama peserta dan VIP sebelum bersurai)


(Gambar bersama Kak Chik dan keluarga yang datang memberi sokongan)

Untuk makluman juga, antara muka-muka lama yang akan mewakili Negeri dan Agensi setakat ini ialah Siti Nur Zafran wakili Kelantan, Suliha Yusof wakili Kedah, Pamela Abdul Harip wakili WP Labuan, Shamsul Wahab wakili Johor, Azmi Ismail wakili Perak, Nur Atikah Desa wakili Langkawi, Basri wakili Perlis, Chief Inspektor Mohd. Mahat wakili PDRM dan saya wakili Melaka. Lain-lain negeri muka baru di Kebangsaan antaranya ialah Saudara Norhisyam Razali wakil WP Kuala Lumpur yang sudah pun berborak dengan saya melalui garapan blog. Negeri dan agensi yang akan mengadakan Sayembara hujung minggu ini ialah Angkatan Tentera Malaysia menyaksikan PW1 Azamin Itam berentap dengan Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid, Insititusi Pengajian Tinggi Awam yang akan menyaksikan antara peserta hebat seperti Saudara Azree Ariffin mewakili UIAM, yang bakal menentang beberapa peserta pendatang baru dari beberapa IPTA seperti Kuittho ( yang mana dijangka akan memberi saingan hebat kerana peserta dari Kuittho merupakan anak didik Saudara Sahrin Haron iaitu bekas Johan SDPBM Peringkat IPTA Tahun 1998 dan 2002 serta pernah mewakili Selangor pada Tahun 2005 ) dan akhir sekali ialah Negeri Sarawak. Kesimpulannya, hampir 45 % peserta ke Kebangsaan pada tahun ini adalah muka-muka lama yang pernah menjejakkan kaki ke Peringkat Kebangsaan sebelum ini.

Sama-sama kita nantikan transformasi yang lebih hebat itu!

P/S - Tidak lupa juga hendak beritahu, di Peringkat Kebangsaan nanti saya telah diberi Puisi 'Mengenangmu Pejuang' karya Shahrunizam Abdul Talib oleh JKKN untuk saya perjuangkan sebagai wakil Negeri Melaka!


(Penghayatan dalam Puisi Tun Perak karya Gunawan Mahmood...Inilah Akumurba)

13 ulasan:

  1. oh. Baca sajak tun perak ya. Pertamanya tahniah kerana memenangi pertandingan ini. Keduanya seronok membaca pengalaman deklamator. Saya kalau berpuisi sederhana sahaja. Mungkin sebab itu saya hanya boleh baca puisi-puisi sendiri sebab saya pandai merasa perasaan dalam puisi. Kalau puisi orang lain saya kurang arif pula.


    Apa-apa pun cantik custom dan cantik gambar yang diambil. :)

    BalasPadam
  2. Terima kasih saudari. Apa-apapun kostum tu adalah ilham isteri saya. beliau yang banyak membantu menguruskannya.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum.

    Membaca catatan abg Fairuzan, saya semakin berdebar-debar menantikan pertandingan peringkat IPTA. Apa pun, tahniah atas kemenangan di negeri Melaka! Segak betul mengenakan persalinan biru itu.

    Kagum dengan penganjuran di Melaka. Kalaulah saya berpeluang beraksi di pentas sebegitu, alangkah bahagianya. Terasa meriah betul penganjurannya.

    Oh kebetulan, saya membawakan sajak yang sama! Bagaimana saya boleh menghubungi abg fairuzan ya?

    BalasPadam
  4. Telah tercatat di sebelah tepi blog saya nombor telefon untuk dihubungi.

    Semoga berjaya membawakan dengan tenang, satu persatu pengucapannya, anti klimaks dan sedikit teaterikal. Insya Allah, anda boleh.

    BalasPadam
  5. salam..
    akumurba..

    tahniah.. anda sememangnya sudah berada ditahap JURI atau hakim
    kehebatan anda memang tidak disangkal lagi..
    memang bertuah saya dapat bertemu nanti diperingkat kebangsaan

    kontroversi terhadap kemenangan saya yang dikatakan oleh bekas bekas juara sebelum ini di KL telah terjawab.. ketusan pengadil adalah muktamad. andai kata ada yang benar benar inginkan kemenangan di Kl tempoh hari.. saya izinkan dia memiliki tahta kemenangan juara itu.. sebab bagi saya saya cuma mahukan peluang untuk bengkel puisi pada 14 ogos ini. jadi bengkel tu amat bermakna untuk kita belajar dan terus mahir dalam arena ini..

    kecewa juga sebagai orang baru dalam deklamasi, pertikaian tentang "kenapa Juara KL anti klimaks?" masih terniang..

    apalah dosa saya untuk berebut dengan otai otai untuk menjadi juara..
    nilai RM 800 itu bagaikan debu dibelanjakan..
    saya tak mahukan kekayaan ataupun status..
    tapi pengalaman beraksi di FINAL KEBANGSAAN itu adalah hadiah paling bermakna dalam memori perjalanan seorang deklamator.

    apa pun.. tahniah diucapkan kepada suadara..
    memang jiwa dan bakat saudara saling seiring..

    kita jumpa nanti yer..

    p/s.. azree, abang tak jadi pergi plak.. ada EXAM sabtu nie.. semoga berjaya yer..

    ainun : bila jiwa itu sudah sebati.. secubis rasa sudah cukup memadai dan menikmati hasilnya..

    BalasPadam
  6. Thniah my friend, saya tahu anda hebat cuma masa dan ketika belum tiba ketitiknya. Mgkin sekian banyak pengalaman yang dikutip kini akan tiba masanya anda menuai ranum hasilnya .

    Mr. Wawi

    BalasPadam
  7. Sabarlah Saudara Hisyam...dalam dunia Deklamasi ni, memang pelbagai selera timbul. Juri ini nak suara nyaringla, juri itu nak suara lembutla, juri yang satu lagi tak nak kerasla...macam-macam. Janji, sebagai deklamator kita bawa cara dan kaedah yang kita rasa selesa. Tidak perlu tukar kaedah orang lain di saat-saat akhir. Apa yang penting kaedah dan cara deklamasi puisi yang kita bawa itu adalah sederhana kerana kaedah sederhana semua orang boleh terima dan tiada siapa yang obses serta tiada siapa yang membenci!

    BalasPadam
  8. itulah dia..
    khabar nyer orang protes betul betul.. sampai beserta surat dan bersua muka dengan hakim

    kesian hakim.. sebagai macam kredibiliti tak di akui
    yang protes nie.. adalah dikalangan otai otai
    yang pernah menang dan juga penonton yang juga otai yang pernah menang SDPM nie

    soalnyer.. kenapa didalam arena ini.. wujud deklamator yang berhati busuk dan iri hati
    kalau saya memang satu suka sesorang yang hebat bertanding dan saya akan lebih bersungguh sungguh

    ini tidak..
    sabataj sana.. sabotaj sini..
    sebabnyer.. supaya yang hebat tak masuk FINAL.. dan dia boleh menjadi juara
    semangat menutup rezeki orang nie pasti akan membawa kecelakaann pada diri sendiri
    saya hampir disabotaj
    Allah maha besar... pastinya membantu saya yang dianiaya

    tahun depan.. memang tawar hati nak masuk..
    tapi bile fikirkan pengkhianat puisi nie.. semangat bersemangat pulak saya nie..
    heheheheh..

    jadi.. tak sabar saya nak jumpa johan melaka nie
    harap boleh tunjuk ajar saya yer 12 hari bulan nanti..

    ok..

    BalasPadam
  9. Mak aiii!Kalah pesta citrawarna nih!

    Sepatutnya final kebangsaan dibuat semeriah ini.Tak perlu seratus peratus ikut format,just tampilkan sikit kelainan, kalau masih nak tengok puisi hidup dan bernafas di zaman semua org semakin buta seni nih.

    Sekalung tahniah!

    p/s Encik Rodzuan Ismail tu bapak sedara I.Tak caya,tanya dia apa kaitan dia dgn Zurinah hassan.Hehehe...

    BalasPadam
  10. Tahniah, sebab menang banyak. pertama syair, kedua sajak, lumayan jugak, ketiga isteri support, keempat pilih sajak yang baik. Aku pun akan bawa sajak yang sama 'Tun Perak' tapi mungkin dengan kaedah yang agak berbeza. Kau tau je lah, mesti something. Tak menang pun tak paa. Janji ada kretiviti. Seperti biasa, pertandingan dua tiga hari lagi. Aku sibuk dengan latihan dgn amerika, tak menaruh harapan sangat tapi akan bagi persembahan yang menarik. he he he bye

    BalasPadam
  11. Semoga berjaya Tuan Left. Kol Radzi...tahun ini Tun Perak amat laris...

    BalasPadam
  12. tahniah! :)

    memunggah kembali kenangan SPDK tahun 2002...yang telah lama ditinggalkan dalam sejarah

    BalasPadam
  13. Terima kasih kak Nida...berjumpa lagi kita rupanya selepas kisah SDPBM 2002 di Kangar. Semoga teruskan berkarya Kak Nida dan Selamat meneruskan perjuangan dalam kerjaya anda!

    BalasPadam