Jumaat, 31 Julai 2009
'MENGENANGMU PEJUANG' DI KEMPEN HARI PAHLAWAN 2009
Pagi tadi, selesai sudah saya membuat persembahan deklamasi puisi untuk Sambutan dan Kempen Hari Pahlawan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2009. Amat bermakna buat saya, kerana inilah medan dan masanya untuk mengasah suara dan keyakinan bagi persiapan ke Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka Peringkat Kebangsaan 2009 pada pertengahan Ogos ini.
Dengan membawakan puisi berjudul Mengenangmu Pejuang karya Shahrunizam Abdul Talib, saya pada kali ini tampil dengan kostum berwarna hitam pahlawan lengkap bertanjak. Seawal jam 7.00 pagi saya bersama isteri yang juga jurufoto pada majlis berkenaan sudah berada di Dataran Seri Negeri Ayer Keroh. Majlis yang dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Bekas Perajurit dan Kerajaan Negeri Melaka pada kali ini , amat memberikan impak yang sungguh bermakna kepada semua tetamu khasnya kepada bekas-bekas Perajurit yang hadir.
Majlis pada tahun ini seperti biasa telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob, Yang Di Pertua Negeri Melaka.
Kata isteri saya, persembahan saya melalui puisi Mengenangmu Pejuang pada pagi ini lebih tenang, bersahaja dan tidak terlampau 'garang' dan mampu dihayati dengan baik oleh para hadirin jika dibandingkan semasa persembahan puisi yang sama semasa Program Persembahan Amal Anjuran Puspanita Negeri Melaka pada Isnin yang lalu. Maklumlah, puisi ini merupakan 'the killer poetry', jadi saya perlu menjaga penyampaian puisi ini agar tidak 'sumbang' cara dan kaedah deklamasi yang saya tampilkan.
Ini kerana, ramai rakan-rakan deklamator lain yang mengatakan saya beruntung mendapat tajuk puisi Mengenangmu Pejuang kerana puisi ini memang sedap dihayati dan dibaca malah kalau kena dengan deklamator yang baik yang mampu menyampaikan puisi ini seperti mana kehendak penulisnya serta rasa 'menikam' perhatian juri dan audiens, alamatnya 'gatal tangan sekali lagi lah...'
Isnin, 27 Julai 2009
UNDANGAN PERSEMBAHAN SEBAGAI PENTAS 'REHEARSEL'
Tahniah kepada pihak penganjur kerana memberi pengisian yang bermakna pada hari tersebut. Saya berpeluang untuk mendeklamasikan dua buah puisi yang diambil dari Antologi Jamung Merdeka untuk persembahan tersebut iaitu sebuah puisi yang bertepatan dengan wadah penganjur yang bertemakan wanita iaitu Puisi Srikandi Merdeka karya Abdul Hadi Yusoff dan sebuah puisi yang akan saya pertaruhkan untuk ke Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Peringkat Kebangsaan pada pertengahan Ogos ini iaitu Mengenangmu Pejuang karya Sahrunizam Abdul Talib. Sekurang-kurangnya, persembahan semalam menjadi landasan mengadakan latihan dan 'rehearsel' tidak formal sebelum tarikh pertandingan bermula.
Ada satu lagi undangan persembahan pada pagi 31 Julai ini iaitu Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan di Dataran Seri Negeri anjuran Persatuan Bekas-Bekas Perajurit Negeri Melaka. Saya juga akan mengadakan persembahan melalui Tajuk Mengenangmu Pejuang, yang kebetulan juga saya tidak perlu menghafal puisi lain atau mencipta sajak lain kerana puisi Mengenangmu Pejuang amat sesuai dengan konsep Hari Pahlawan. Satu lagi 'rehearsel' akan tiba.
Begitu juga pada malam 31 Julai ini juga, YB Datuk Hj. Md. Yunos Husin, ADUN kawasan Ayer Molek ada mengundang saya untuk membuat persembahan deklamasi puisi sempena Program Penghayatan Kemerdekaan meraikan Anak Angkat dari Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor bertempat di kediaman beliau. PAda malam itu nanti, kemungkinan saya akan deklamasikan beberapa buah puisi dan semestinya Puisi Mengenangmu Pejuang tidak akan saya lupakan untuk dideklamasikan.
Kemungkinan sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur pada 13 atau 14 Ogos nanti, jika ada sebarang undangan persembahan deklamasi puisi, pastinya Puisi Mengenangmu Pejuang akan saya deklamasikan seberapa kerap yang mungkin untuk sebati dalam jiwa saya sebagai perjuangan ke Peringkat Kebangsaan nanti.
Makluman yang baru diterima daripada Saudara Sahrin Haron (Pegawai pengiring peserta Kuittho merangkap jurulatih) dan laporan daripada Saudara Azree Ariffin (wakil UiAM yang juga telah tewas di IPTA di peringkat saringan), mengatakan Juara Peringkat IPTA dalam SDPBM 2009 ialah wakil dari Universiti Malaysia Sabah, pelajar wanita katanya yang juga menjadi juara hasil daripada mendeklamasikan Puisi yang sama dengan saya semasa di Peringkat Negeri Melaka yang lalu iaitu Tun Perak. Di Peringkat Angkatan Tentera Malaysia juga, Juara Menanti Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid telah memberitahu saya bahawa beliau juga akan membawakan Puisi Tun Perak dengan corak persembahan dan koreograf kreatif beliau sendiri. Nampaknya, Puisi Tun Perak amat 'laris' pada tahun ini.
Ahad, 19 Julai 2009
JUARA DALAM TRANSFORMASI
(Aksi sebagai Juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka)
Sebelum saya menulis entry terkini ini dengan lebih jauh lagi, saya hendak ucapkan tahniah terlebih dahulu kepada Chief Inspektor Mohd. Mahat yang juga menjadi juara PDRM pada 17 Julai lalu buat tiga tahun berturut-turut. Juga tahniah diucapkan kepada juara baru Negeri Sembilan, Pahang dan Putrajaya yang berlangsung pada minggu lalu. Kepada Saudara Amran Rashidi yang baru bertanding di Putrajaya Ahad lalu, jangan bersedih di atas ketewasan dek kesilapan teknikal alat siaraya yang kurang berfungsi di Putrajaya tempoh hari.
(Menggunakan ruang dan props yang tersedia dengan bijaksana)
(Gagah melangkah dengan aksi teaterikal)
Alhamdulillah...syukur saya yang tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T. Terima kasih diucapkan pertamanya kepada isteri tercinta yang juga selaku tunjang utama merangkap penasihat kostum dan jurufoto peribadi saya, kepada mak abah yang mendoakan dari Muar dan juga menyiapkan props untuk saya, kepada keluarga mertua yang memberikan sokongan padu tidak terhingga, kepada Achik dan Abang Cok Lah sekeluarga yang sudi menonton pertandingan, tidak dilupakan terima kasih saya ucapkan kepada Butik Mala yang sudi memberikan khidmat berkualiti dalam sewaan kostum Songket Bendahara berwarna biru ( Bulan Ogos ini saya sewa lagi ), kepada rakan-rakan pejabat dan juga seterusnya kepada sahabat handai para 'otai' Sayembara sekalian.
(Tun Perak lelaki melayu tokoh terulung di zamannya...)
(bijaksananya memikat ribuan orang datang berdagang...)
Lepas sudah lelah Sayembara Deklamasi Puisi dan Syair Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan pada 18 Julai 2009 ( Sabtu lalu ), jam 8.30 malam, bertempat di Dataran Seni Taman Budaya, JKKN Negeri Melaka di Ayer Keroh. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Berhormat Datuk Haji Othman Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Ketua 1 Persatuan Penulis Melaka ( PENAMA ) dan AJK Tertinggi GAPENA bersama-sama Yang Berbahagia Datin Hajjah Halimah Baba dengan diiringi Yang Berbahagia Encik Rodzuan Ismail, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka dan isteri.
( ...makmurnya tanah ini mengundang kuasa-kuasa Barat. )
(Saudara Zauwawi Che' Cob, Setiusaha PENAMA - Juruacara majlis)
Syukur dan rasa sangat gembira kerana saya telah berjaya dinobatkan sebagai JOHAN Kategori Puisi Peringkat Negeri Melaka yang secara langsung menjadikan saya penyandang gelaran Juara Peringkat Negeri Melaka selama tiga tahun berturut-turut
( sejak 2007 hingga 2009 ) melalui Puisi 'Tun Perak' karya Gunawan Mahmood. Dengan kemenangan itu, saya berjaya membawa pulang sebuah Plak, Hadiah Wang Tunai
RM 800.00, Koleksi Buku dan Sijil Penyertaan. Seterusnya juga, saya akan mewakili Negeri Melaka ke Peringkat Kebangsaan pada 14 hingga 17 Ogos akan datang.
(Pencabar terdekat Shahrul Mubarak Ahmad dengan Puisi Jamung Merdeka. Beliau pernah jadi Johan Negeri Melaka tahun 2004 dan 2006)
(Saudara Kurudevan, deklamator berbangsa India yang berbakat)
(.."den dah koba deket ekau jangan poi Melako. Kan dah kalah!" Inilah dia Saudara Zulkifli Md. Noor dari Negeri Sembilan yang juga bekas Juara Negeri Sembilan tahun 2000, 2003 dan 2005)
(Saudari Noor Ahmad menghayati Puisi Jamung Merdeka)
Walaupun tewas dalam Kategori Syair melalui Syair Bidasari dalam irama Narasi, namun tidak mengapa dan tiada rasa terkilan bagi saya kerana perjuangan untuk mengejar juara dalam Kategori Puisi adalah lebih penting kerana ia merupakan acara tradisi yang perlu dipertahankan selama lebih kurang 12 tahun semenjak saya bergelar deklamator dalam Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka ini. Tewas Syair pun, dapat tambah RM 100.00 lagi. Tahniah kepada Siti Nurizwani Jasni dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Perempuan Melayu Melaka yang menjadi Johan Kategori Syair melalui Syair Burung Punggok dalam irama Selendang Delima dan berjaya membawa pulang Plak, Wang tunai RM 500.00, Koleksi Buku dan Sijil Penyertaan.
(Inilah bakal wakil Melaka dalam Kategori Syair, Siti Nurizwani Jasni)
(Aksi saya dalam Syair Bidasari)
(Peti dibuka oleh tuan puteri...di hadapan Siti Bidasari...diambilnya suatu cembul baiduri...eloknya tiada lagi terperi...)
Dalam entry ini, banyak perkara yang hendak dikongsi, dikhabarkan dan dipaparkan mengenai trasnformasi dan kisah-kisah yang sempat terakam dalam kalbu ingatan saya semasa malam Sayembara Deklamasi Puisi dan Syair Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka.
Syabas dan tahniah kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka kerana telah mencipta kelainan dan transformasi seperti berikut :
1. Venue pertandingan yang lebih santai. Jika selama ini venue pertandingan diadakan seperti di Pentas Budaya Pantai Puteri atau di pusat membeli belah ternama di Bandaraya Melaka Warisan Dunia seperti di Melaka Mall atau di Dataran Pahlawan, tetapi pada kali ini venue pertandingan diadakan di Dataran Seni Taman Budaya. Satu tempat yang lapang. Satu kejutan buat semua peserta kerana kebanyakan peserta menganggap pertandingan akan diadakan di dalam Panggung Seri Taman Budaya.
2. Konsep zero statik. Bagi mengelakkan persembahan kaku dan statik, kali ini para peserta diberi tugasan paling mencabar dek percubaan berani pihak penganjur dengan menggunakan 'cordless mic' bagi menggantikan penggunaan 'stand mic' yang membosankan.
3. Konsep tangga batu Rumah Tradisional Melaka, anjung rumah, halaman tangga dan dataran menggantikan pentas. Terpulang kepada para peserta menggunakan ruang-ruang tersebut dengan berhemah dan bijaksana bagi menampilkan pergerakan menarik dan menimbulkan konsep ala teaterikal. Alhamdulillah, saya berjaya menggunakan ruang tersebut dengan sebaiknya.
4. Penonton bersila sambil menonton. Konsep bersila di atas tikar, ruang 3 dimensi menjadi elemen untuk audiens menyaksikan persembahan peserta secara lebih santai sambil menikmati juadah ubi rebus.
5. Tiada keputusan Naib Johan dan Tempat Ketiga. Cuma Anugerah Johan diumumkan pada malam itu. Bererti para peserta yang tidak diumumkan adalah penerima hadiah saguhati.
Dengan cara ini mungkin juga ada baiknya untuk para peserta agak berlumba-lumba membuat yang terbaik. Bukan sekadar hanya berpuas hati jika mendapat tempat kedua atau ketiga.
6. Anugerah Potensi diperkenalkan. Anugerah ini juga dikenali sebagai Anugerah Khas Juri untuk dianugerahkan kepada bakat-bakat yang berpotensi dan dipertimbangkan sebagai deklamator yang mempunyai keistimewaan dalam persembahan walaupun bukan pemenang. Tahniah kepada Saudara Kamarudin Bakar dan Saudari Khaidatul Nadia Shaharom pemenang Anugerah Potensi Kategori Puisi dan Kategori Syair masing-masing berjaya membawa pulang RM 300.00 ( Kategori Puisi ) manakala RM 200.00 ( Kategori Syair ), Plak, Koleksi Buku dan Sijil Penyertaan.
(Aksi Kamarudin membawakan Puisi Kota Perjuangan)
(Alunan Syair dari Khaidatul Nadia Shaharom yang agak kurang menyengat berbanding Peringkat Saringan yang lalu)
7. Panel Juri di kalangan generasi muda. Kali ini tiada lagi panel juri di kalangan aktivis puisi veteran diundang dengan tujuan fokus kepada kelainan dan transformasi. Panel juri yang menghakimi pertandingan pada malam itu ialah Puan Norliza Md. Yamin - sorang aktivis puisi melayu tradisional Negeri Melaka yang juga Naib Johan SDPBM Peringkat Kebangsaan Tahun 1997, Encik Noerdin Ahmad atau Bob - Pegawai Kebudayaan JKKN Negeri Kedah yang juga Johan SDPBM Peringkat Kebangsaan Tahun 2001 dan Tuan Haji Zazmi Zain - Ketua Penerbit Rancangan Melaka Fm yang juga deejay popular radio dalam Rancangan Pujaan 10 Nescafe suatu ketika dahulu dan beliau juga merupakan Ketua Kumpulan Puisi Kota Kasturi yang sedang bergiat aktif di Kuala Lumpur dan Melaka.
8. Penggunaan props menjadi kriteria tambahan pemarkahan. Selain 8 aspek yang sedia ada dalam penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka, penggunaan props yang membantu persembahan amat diambil kira oleh panel juri selain penerbitan suara dan kaedah penyampaian secara teaterikal.
(Simbolik tepak sirih sebagai ilham)
(musuh datang ditewaskan dengan helah hulubalang...)
9. Persembahan selingan oleh pelbagai kumpulan kesenian seperti persembahan Kompang 'Shuffle' menyerikan acara pada malam itu.
(persembahan Kompang 'Shuffle')
(Persembahan Tarian Joget dan Inang dari Pelajar Kolej Yayasan Melaka)
(Persembahan Tarian Kipas menyerikan acara malam itu)
Selepas kesemua peserta ( 11 peserta Puisi dan 5 peserta Syair ) beradu nasib, acara selingan pada malam itu diserikan dengan persembahan medley Syair dan Gurindam oleh Puan Norliza Md. Yamin dan persembahan deklamasi puisi oleh Encik Noerdin Ahmad yang mendeklamasikan Puisi 'Kitalah Tuan' karya Hashim Yaakob dengan berkesan dan tepukan gemuruh penonton.
(Persembahan selingan deklamasi puisi mantap dari Noerdin Ahmad)
(Persembahan selingan medley Syair dan Gurindam oleh Norliza Md. Yamin)
(Saya menerima hadiah Juara Deklamasi Puisi dari YB Speaker DUN Melaka)
Dengar khabar juga, Sayembara Deklamasi Puisi dan Syair Merdeka 2009 Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 14 hingga 17 Ogos ini. Ada Saringan dan Akhir pula. Saringan akan diadakan di MATIC, Jalan Ampang dan Akhir akan diadakan di Angkasapuri. Cuma 6 peserta terbaik layak ke Pertandingan Akhir di Angkasapuri mewakili setiap kategori.
(Gambar kenang-kenangan bersama peserta dan VIP sebelum bersurai)
(Gambar bersama Kak Chik dan keluarga yang datang memberi sokongan)
Untuk makluman juga, antara muka-muka lama yang akan mewakili Negeri dan Agensi setakat ini ialah Siti Nur Zafran wakili Kelantan, Suliha Yusof wakili Kedah, Pamela Abdul Harip wakili WP Labuan, Shamsul Wahab wakili Johor, Azmi Ismail wakili Perak, Nur Atikah Desa wakili Langkawi, Basri wakili Perlis, Chief Inspektor Mohd. Mahat wakili PDRM dan saya wakili Melaka. Lain-lain negeri muka baru di Kebangsaan antaranya ialah Saudara Norhisyam Razali wakil WP Kuala Lumpur yang sudah pun berborak dengan saya melalui garapan blog. Negeri dan agensi yang akan mengadakan Sayembara hujung minggu ini ialah Angkatan Tentera Malaysia menyaksikan PW1 Azamin Itam berentap dengan Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid, Insititusi Pengajian Tinggi Awam yang akan menyaksikan antara peserta hebat seperti Saudara Azree Ariffin mewakili UIAM, yang bakal menentang beberapa peserta pendatang baru dari beberapa IPTA seperti Kuittho ( yang mana dijangka akan memberi saingan hebat kerana peserta dari Kuittho merupakan anak didik Saudara Sahrin Haron iaitu bekas Johan SDPBM Peringkat IPTA Tahun 1998 dan 2002 serta pernah mewakili Selangor pada Tahun 2005 ) dan akhir sekali ialah Negeri Sarawak. Kesimpulannya, hampir 45 % peserta ke Kebangsaan pada tahun ini adalah muka-muka lama yang pernah menjejakkan kaki ke Peringkat Kebangsaan sebelum ini.
Sama-sama kita nantikan transformasi yang lebih hebat itu!
P/S - Tidak lupa juga hendak beritahu, di Peringkat Kebangsaan nanti saya telah diberi Puisi 'Mengenangmu Pejuang' karya Shahrunizam Abdul Talib oleh JKKN untuk saya perjuangkan sebagai wakil Negeri Melaka!
(Penghayatan dalam Puisi Tun Perak karya Gunawan Mahmood...Inilah Akumurba)
Rabu, 15 Julai 2009
GATAL TANGAN KANAN SEKALI LAGI...
Vokal yang merdu dan mendayu-dayu memang untuk pertandingan nyanyian.
Tetapu dalam pertandingan Syair, adalah medan untuk bersyair bukan medan untuk menyanyi, mengilai-ngilai, dan akhirnya memberikan 'Panadol' percuma kepada khalayak yang menonton persembahan dalam Pertandingan Syair.
Menyorot kembali acara Saringan Syair Merdeka pada Sabtu lalu di Taman Budaya...tidak dinafikan apabila kita membawakan Syair Irama Selendang Delima, bukanlah bererti peserta perlu menyanyi, tetapi kita perlu bersyair.
Tidak dinafikan bukan tiada peserta yang baik kerana para hakim yang bijaksana menilainya dan saya pula bukanlah pakar bertaraf 'haul' dalam bidang puisi tradisional ini. Inipun, saya belajar secara tidak formal daripada beberapa sumber.
Dr. Zurinah Hassan ( bonda kepada kawan saya Raihani ) adalah pejuang kepada puisi tradisional khasnya Syair. Semasa saya berguru barang seketika dengan beliau, beliau ada mengatakan kepada saya dan ada juga diterangkan secara jelas di blog beliau mengenai alunan suara untuk puisi tradisional Syair ini.
Penyair yang baik adalah pengalun irama yang sekadarnya sahaja. Tidak perlu mendayu-dayu. Ini kerana, keutamaan adalah mesej syair itu sampai atau tidak kepada pendengaran khalayak. Adakah khalayak hanya sekadar terhibur dibuai ilusi 'manja' suara pembaca syair itu.
Rentetan daripada itulah, saya memilih irama Syair Narasi yang tidak terlalu mendayu-dayu dan mudah untuk menyampaikan mesej kepada khalayak.
Nantikan Syair Bidasari dalam Irama Narasi Sabtu ini, jam 8 malam di Panggung Seri Taman Budaya Melaka!
TANGAN KANAN ASYIK GATAL...
Keputusan peserta yang berjaya masuk ke Akhir sudah pun diketahui. Ada 'otai' yang berjaya ke Akhir dan ada juga yang kandas di saringan pada Sabtu lalu. Dilihat dari corak penghakiman tahun ini di Melaka, ramai peserta puisi dan 'para otai' yang menjadikan deklamasi puisi ini medan menjerit, memekik terlolong memang akan dikandaskan untuk ke Akhir.
Sebelum saya menyaksikan saringan tersebut, saya ada terlintas juga untuk mencari sebuah puisi yang lebih patriotik persembahannya berbanding Puisi Tun Perak yang memang sudah didaftarkan untuk puisi pertandingan selaku Johan Menanti. Setelah menyaksikan dan menganalisis saringan puisi tersebut, saya dapati ramai di antara deklamator yang menjerit-jerit dan laju bacaan mereka semasa mendeklamasikan puisi.Justeru, saya berfikir adalah lebih baik saya meneruskan untuk tidak mengubah tajuk sajak saya iaitu Puisi Tun Perak ( yang kononnya saya hendak gantikan dengan Mengenangmu Pejuang...yang sifatnya lebih patriotik ).
Adalah lebih baik saya membawakan puisi Tun Perak kerana sifat puisi itu yang memerlukan saya tampil dengan artikulasi yang betul, teaterikal bentuknya serta menikam dalam gaya persembahan yang bersahaja.
Nampaknya, adalah kelainan bentuknya jika dibandingkan peserta-peserta lain yang membawakan Puisi Jamung Merdeka, Taman Merdeka dan beberapa puisi 'cari makan' yang sudah biasa khalayak mendengar dan menontonnya.
Isnin, 13 Julai 2009
CERITERA SARINGAN...
Seramai 21 peserta menyertai Kategori Puisi dan 8 peserta bagi Kategori Syair. Cuma 10 peserta termasuk saya ( Johan Menanti ) dipilih untuk Kategori Puisi dan 5 bagi Kategori Syair ke pertandingan akhir.
Alhamdulillah, percubaan pertama saya dalam Kategori Syair pada kali ini membuahkan hasil kerana terpilih ke pertandingan akhir bersama perjuangan selaku juara menanti Puisi pada 18 Ogos ini di Panggung Seri, Taman Budaya Melaka.
Dilihat daripada penyertaan, kemunculan 'otai-otai' lama masih kekal untuk beradu nasib seperti Shahrul Mubarak dan Kamarudin Bakar yang setia memberikan saingan.
Tetapi ada juga 2 orang 'otai' Negeri Sembilan termasuk bekas Juara Negeri Sembilan tersesat di Bumi Melaka.
Apapun, terpulang pada urusetia dan para juri untuk menilai kewajaran pada 18 Ogos ini...kepada sahabat-sahabat dan para 'otai' sekalian! Selamat bertanding!
Khamis, 9 Julai 2009
TERIMA KASIH SAYANGKU...
Sebelum kerancakan menulis entry-entry baru pada minggu akan datang yang lebih mencabar di saat-saat menantikan debaran Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka 2009 Peringkat Negeri Melaka pada 18 Ogos ini...saya nak ucapkan terima kasih yang teramat buat isteri yang selama ini menjadi tulang belakang dalam kejayaan saya. Terima kasih tidak terhingga, sempena musim kehangatan dan bahang sayembara ini, beliau telah memperbaharui dan memperindahkan blog AKUMURBA ini dengan gambar-gambar persembahan dan pertandingan puisi dengan kaedah photoshop.
'Thanks a lot' sayangku...
'muah-muah'...
'ucuk acin'.
Isnin, 6 Julai 2009
JUARA UNTUK DUIT DAN NAMA? vs JUARA UNTUK BERAKSI DAN BERBAKTI ?
Saya yang telah hampir 12 kali menyertai SDPBM ini banyaklah juga pengalaman dan cerita sekaligus ia menghimpunkan pelbagai hikmah baik yang tersurat dan ada juga yang tersirat. Melihat ragam rakan-rakan terutama yang 'otai-otai' dalam bidang ini.
Kebanyakan dari kita yang masuk bertanding majoritinya mahu menjadi juara. Baik mahu juara negeri dan seterusnya mewakili negeri dan juga ada yang mahu juara kebangsaan. Nasiblah sangkut kalau ditakdirkan begitu. Tidak hairanlah ada sesetengahnya yang sanggup buat aksi lompat katak. Dah bertanding di sesebuah negeri, bertanding pula di negeri lain. Itu jelas dan nyata mereka yang mahu rebutkan wang atau nama. Saya rasa situasi sedemikian tidak lagi berlaku oleh kerana kemajuan teknologi maklumat dan 'para pemerhati' bebas seperti saya dan beberapa rakan di balik tabir yang melaporkan perkara ini secara diam dan tersembunyi. JusteruApa yang saya lihat, gelanggang SDPBM ini bukan berakhir setakat pertandingan semata-mata dan bersediakah kita untuk perkara-perkara yang sedemikian kalau kita ditakdirkan menjadi juara :
1). Juara Sayembara sepatutnya bersedia menjadi deklamator undangan dalam apa jua program jabatan penganjur baik di peringkat negeri mahu pun pusat. Oleh sebab itulah kita tidak digalakkan lompat katak. Di sini komitmen kenegerian memainkan peranan utama.
2). Juara Sayembara sewajarnya bersedia dan belajar meletakkan kewajaran untuk menghasilkan karya terutama dalam genre puisi. Berulah menjadi ikon deklamator serba boleh.
3). Juara Sayembara perlu lebih 'versatile' dalam menampilkan kelainan dalam acara persembahan puisi. Deklamator yang sudah bergelar juara perlu mejadi seorang 'tahfiz' puisi. Hafal sebanyak mungkin sajak khasnya dalam antologi deklamasi puisi. Tidak hanya asyik-asyik puisi itu sahaja yang dideklamasikan dalam acara deklamasi atau baca puisi. Penonton dan khalayak puisi pada hari sudah bijak menilai aspek sedemikian.
4). Juara Sayembara perlu pandai menampilkan persembahan puisi tradisonal seperti nazam, gurindam dan syair dalam pelbagai acara baca puisi. ataupun membuat kombinasi kedua-duanya sekali.
5). Juara Sayembara harus bersedia menjadi seorang penceramah deklamasi yang baik secara formal kepada khalayak atau pelajar-pelajar sekolah. Turunkan ilmu dengan cara berhemah dan bijaksana. Justeru, selain kita perlu pandai mendeklamasi puisi, kita perlu pandai berkata-kata.
6). Juara Sayembara perlu pandai merencanakan masa depan dunia sayembara deklamasi puisi dengan baik. Wujudkan hubungan secara rapat dengan juara-juara terdahulu, Sahabat-sahabat 'otai' yang belum-belum sangkut untuk menang dan juga deklamator 'junior' yang mungkin bakal memberi perubahan dan kelainan dalam acara ini pada masa akan datang. Jadilah seorang pemikir yang positif.
Wang, pangkat, nama dan kedudukan adalah habuan seketika dalam musim Sayembara Deklamasi Puisi yang datang dan pergi hanya seketika di saat menjelangnya bulan Kemerdekaan yang disambut saban tahun.
Janganlah 'pengumuman juara' itu berakhir begitu sahaja.
Datang dan pergi...
Ahad, 5 Julai 2009
MUKA BARU MEWAKILI KL DAN SELANGOR TAHUN INI DALAM SDPM 2009
PESERTA-PESERTA FINAL SDPBM 2009 PERINGKAT WP KL
BERTEMPAT DI SALOMA MINI BISTRO 4 JULAI 2009 - IHSAN KAZULIFEZ
Semalam saja, saya dimaklumkan oleh Saudara Amran bahawa Juara WP KL tahun ini, muka baru iaitu Saudara Norhisyam Ghazali. Cuma seorang 'otai' lama yang sangkut di tempat kedua iaitu deklamator 'faovourite' saya Saudari Haryani Haron. Alizan Mat Rasat pun tewas termasuk juara menanti Saudara Nik Mustakim. Memang acara pada tahun ini di WP KL dinamakan Acara 'Tragedi Deklamasi'. Tapi, pagi ini bila saya membaca blog saudara Kazulifez, peserta yang jadi juara tidak menekankan 'part yang sepatutnya ditekankan' apabila membawakan puisi Deklarasi Kemerdekaan...terutama pada bait ketiga tersebut. Saya tidak terkejut dan tidak menyalahkan peserta yang menang kerana saya juga adalah tergolong dalam deklamator yang 'anti klimak'! Saya memang menyukai 'style' dan kaedah 'anti klimak' yang lebih tenang dan meyakinkan.
Begitu juga di Selangor, Tahun ini juga akan diwakili oleh muka baru yang telah mengenepikan Saudara Sharulfadilah ( Juara Menanti ) yang tak dapat tempat langsung dalam SDPM 2009 Peringkat Negeri Selangor. Dashyat...dashyat...
Kemungkinan ia juga telah menjadi 'trend' melahirkan juara-juara negeri yang baru yang melanda belah-belah barat terutama di KL, Selangor dan IPTA mungkin juga. Tetapi, tidak terjadi di Negeri Kelantan, Kedah, Johor dan Labuan pada tahun ini. Pulau Pinang juga muka baru tahun ini.
Tak tahulah...Melaka pada 18 Julai ini bagaimana pula 'trend' nya...begitu juga PDRM pada 17 Julai.
Sama-sama kita menantikan dalam debar dalam degup!
Jumaat, 3 Julai 2009
BENGKEL TEKNIK PEMANTAPAN DEKLAMASI PUISI PATRIOTIK
Saya ditugaskan untuk memberi ceramah mengenai teknik deklamasi tersebut kepada pelajar-pelajar Kelab Setia dan guru-guru bahasa dan sastera di SMK Munshi Abdullah.