Isnin, 11 Januari 2010

PUISI SEDEKAD PERJUANGAN BUAT Y.A.B. DATUK SERI HJ. MOHD. ALI MOHD. RUSTAM SEBAGAI KETUA MENTERI MELAKA





SEDEKAD PERJUANGAN
( BUAT Y.A.B. DATUK SERI HAJI MOHD. ALI BIN MOHD. RUSTAM )
DI PAGI PERHIMPUNAN KHAS 2 DISEMBER 2009 – SERI NEGERI

KARYA / DEKLAMATOR : FAIRUZAN HJ. ABDUL MAJID

Mari sama-sama kita tekuni
dan mentafsir erti sebuah perjuangan.
Melaka Negeri bertuah ini,
di sini menjadi saksi perjuangan seorang pemimpin
di sini menjadi bukti bijaksana seorang pewaris keterbilangan.

Di pagi ini, genap sedekad kita menghargai perjuangan seorang pemimpin
perjuangan seorang patriot bangsa, perjuangan seorang lelaki perkasa
adalah perjuangan seorang Ketua Menteri di Bumi Hang Tuah.

Ayuh, kita toleh sejenak akan paparan sejarah sedekad yang lalu
kemenangan bererti bermula tirai perjuangan
tanggal 2 Disember 1999 terlakarlah satu amanah sebuah diari
diari perjuangan Ketua Menteri
dahulu dipimpin kini memimpin
demi Melaka bumi bertuah.



Dalam membuka jendela baru
Melaka Maju 2010 menjadi tunjang pancang perjuangan
dalam arus sedekad perjuangan seorang pemimpin
Melaka terus tersohor hebat
sejarah menjadi bukti kemegahan negeri
Warisan Dunia menjadi kebanggaan
segala prasarana bertaraf dunia
ekonomi rakyat semakin baik
modal insan berminda IT semakin celik
pekan kecil disusun molek
jalan raya moden dihias cantik
landskap ceria dan lampu menarik
makmurnya Melaka terbersih, terindah.

Di bawah pentadbiran sedekad perjuangan seorang pemimpin
3 daerah maju bersaing
berbumbungkan pelancongan, lantainya pertanian, dindingnya industri
tiangnya dipasak kukuh semangat pemimpin berminda jauhari
bandar besar berkembang menjadi kota dagangan
lihatlah MiTC, Hang Tuah Jaya dan Bandaraya Melaka
telah muncul kota niaga, pasaraya ternama dan pelabuhan moden
menarik minat para juragan baik tempatan mahu pun luar
lantas terpacak Menara Taming Sari dan juga Eye On Malaysia
Sungai dan Pantai Melaka dijaga elok
mendamba pelancong singgah bertandang
produk makanan terus diperkenal
kelapa pandan, misai kucing, jus buah Melaka
tidak dilupa mangga ‘Melaka Delight’
selain tersergam hotel 5 bintang dan litar go-kart bertaraf antarabangsa
pembangunan sukan rancak melonjak
ke arah SUKMA di tahun depan
agama tetap dijunjung, budaya terus disanjung
gaya hidup sihat menjadi amalan, pendidikan jadi keutamaan
universiti dan kolej merentas persada teknologi maklumat
semuanya berkat kepimpinan cemerlang pemimpin perkasa!.

Dalam mengangkat gagasan 1 Malaysia
dialah pemimpin milik semua kaum
dalam perjuangan membela bangsa
dialah wira melayu terbilang
dalam kamar dewan persidangan
dia punya suara digeruni lawan
dalam membela nasib rakyat
dia mesra di sisi masyarakat
dalam memartabatkan Dunia Melayu Dunia Islam
dialah pejuang ad-Din di rumpun melayu
dalam memimpin para belia
dialah bapa sanjungan anak muda.

Pagi ini, setelah menekuni memoir sedekad perjuangan
kita terus berada di sampingnya
selagi perjuangan belum selesai,
kita terus berkhidmat dengan jitu
kita ikrar teguh janji
satu visi satu misi
Melaka Maju 2010.
Tahniah Yang Amat Berhormat Datuk Seri !

Ahad, 6 Disember 2009

PERKAMPUNGAN DEKLAMATOR KEBANGSAAN - BERMINAT ?

Pagi tadi saya baru mendapat sms daripada Saudara Azamin, TLDM memaklumkan bahawa pada 22-24 Januari 2010 akan diadakan satu bentuk perkampungan Deklamator yang mana hanya dikhususkan untuk Deklamator Kebangsaan sahaja dan jumlahnya tidak lebih dari 100 orang. Maksudnya, hanya peserta Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka yang pernah mewakili negeri atau institusi masing-masing ke peringkat kebangsaan sejak Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka diperkenalkan sejak tahun 1987 lagi. Manakala penyertaannya adalah berkonsepkan siapa cepat dia dapat.

Program ini katanya adalah tajaan sebuah Badan Kesenian Kerajaan Negeri Perak yang akan diadakan di Pasir Salak Resort (22-24 Januari 2010).

Jadi, kepada rakan-rakan Deklamator yang berminat boleh terus e-mail kan maklumat seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, Alamat Majikan ( untuk pelepasan )dan Negeri yang diwakili serta nyatakan tahunnya sekali ke e-mail azamin_itam@yahoo.com

Jumpa di Perak!

Rabu, 18 November 2009

MENYUSURIMU, SUNGAI MELAKA : 'VENICE OF THE EAST'



Dalam entry kali ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin sudah terlewat untuk dimajukan ke dalam blog Akumurba kerana saya masih menyimpan sebuah puisi yang telah saya deklamasikan semasa diundang untuk membuat persembahan simbolik bagi Majlis Perasmian Pesta Sungai dan Pantai 2009 Peringkat Negeri Melaka pada 30 Mei yang lalu dan telah berlangsung di Muara Sungai Melaka.






Sebuah puisi ilham saya sendiri mengenai Sungai Melaka serta menyatakan usaha-usaha yang telah digembleng oleh Kerajaan Negeri bagi memajukan Sungai Melaka sehingga menjadi ikon terkini pelancongan di Bandaraya Warisan Dunia ini dan telah pun dipersembahkan dengan jayanya bersama dekorasi tari Artis Briged Seni Melaka di bawah pimpinan Mr. Juan dan Puan Sermaini Pien, Pengurus Briged Seni Melaka yang juga mantan Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Melaka.

MENYUSURIMU, SUNGAI MELAKA : ‘VENICE OF THE EAST’
FAIRUZAN HAJI ABDUL MAJID

Kami menyusuri Sungai Melaka,
sungai bersejarah nilai berharga buat kami
Zaman Kesultanan Melayu Melaka sudah berabad-abad berlalu
meninggalkan warisan sejarah tamadun bangsa
hingga terkenal di peta dunia
di muaranya segalanya bermula
asalnya ia dibangunkan kampung, kota dan juga istana
makmurnya ia memikat orang datang berdagang
sentosanya ia menjadi laluan kapal-kapal datang berlabuh
di kiri kanan menjadi medan menjaja dagangan
di sinilah jua menjadi saksi penjajah datang dan pergi.

Setelah berabad meninggalkan kamus sejarah
arusnya tetap mengalir tenang dan damai
panorama unik menjadi destinasi para pelancong
ia tetap kental menyimpan kesan runtuhan Kota Melaka,
kubu lama peninggalan Portugis,
bangunan merah binaan Belanda
menjadi warisan kenangan di sinilah segalanya bermula
jatuh bangun bangsa Malaysia.

Di saat menyusurimu Sungai Melaka
alangkah damainya jiwa menikmati panorama di kala senja
sambil singah ke Kampung Morten perkampungan tradisi
Rumah Melaka cantik dan molek
tersergam indah menggamit suasana
masyarakatnya sepakat dan ramah
memikat jiwa untuk singgah berkali-kali.

Betapa masyhur dan makmurnya Sungai Melaka
terkenal ia sejak zaman berzaman
pengunjung datang tak mengira musim dan tahun
baik tempatan mahu pun luar
cuti minggu dan cuti umum
Sungai Melaka tetap meriah
Dari Taman Rempah hingga ke muara
bot datang bergilir-gilir
mengangkut pengunjung tak sudah-sudah
irama dondang-sayang menjadi hiburan
mendamba jiwa di kala duka.
Di tebing Sungai Melaka
telah terbina kota niaga dan pelabuhan moden
juga tersergam Menara Taming Sari dan juga Eye On Malaysia
Sungai Melaka terus diperindah,
landskap menarik diurus cantik
kebersihan sungai dijaga elok
dari hulu hingga ke muara
saban tahun kita berpesta
di Sungai Melaka memeriahkan acara
merapatkan perpaduan berbilang bangsa
tidak mengira darjat dan budaya
Satu Malaysia terjalin ikatan
kemakmuran dan kemegahan saling dirasai
menerajui konsep gagasan Perdana Menteri.

Kini, Sungai Melaka tersohor hebat
Warisan Dunia menjadi kebanggaan
air sungainya terus mengalir tenang
mengabdikan citra warisan berzaman
sumber airnya melimpah ruah
menjadi inspirasi pelbagai sumber
pelancongan, perikanan dan juga tenaga industri.

Tidak dilupa Sungai-Sungai di Melaka
baik sungai ternama mahu pun tidak ternama
Sungai Linggi dan Sungai Kesang menjadi pemisah dua negeri
begitu juga Sungai Lendu di Alor Gajah dan Sungai Ulu Jasin
air dan alurnya tetap berjasa buat kami.

Terima kasih kepada kepimpinan
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka
jasamu besar dalam menjaga warisan Sungai Melaka;
gahlah namamu Sungai Melaka :‘Venice of The East’
kebanggaan kami Rakyat Melaka bertuah ini!


19 Mei 2009



Isnin, 16 November 2009

GELEDAH MEMORI SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA KEBANGSAAN 2002 a.k.a. SDPHK


(Keratan Akhbar Mingguan Malaysia sehari selepas SDPHK 2002)


(Puisi, Aksi, Beraksi...)


(Puisi inilah yang saya deklamasikan dan berjaya meraih tempat ketiga SDPBM 2002)


(Reka bentuk 'platform' dan debaran deklamator ketika keputusan diumumkan)


(Semua sudah jadi juara Kebangsaan kecuali saya...dari kiri saya memegang piala tempat ketiga, Amaruszati Noor Rahim-juara SDPHK 2003, Noor Hasnida-juara SDPHK 2002 dan Intan Marhayu memegang piala Naib Johan-Juara SDPHK 2004)






(Tempat Ketiga-menerima hadiah berupa piala, wang tunai RM 1,500.00, cenderamata dan sijil penyertaan)


(Dari kiri saya wakili WP Kuala Lumpur-Ketiga, Noor Hasnida dari Perlis-Juara dan Intan Marhayu dari Selangor-Naib Johan)


(Malam Kemuncak SDPHK 2002)

Sudah lama rasanya saya hendak berkongsi pengalaman semasa mula-mula menjejakkan kaki ke Peringkat Kebangsaan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka ( pada ketika itu dikenali sebagai Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan ). Ketika itu,GAPENA merupakan penganjur utama SDPHK sebelum Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mengambil alih peranan penganjurannya bermula tahun 2006.

Saya masih ingat lagi pada tahun berkenaan ramai otai-otai yang kini telah pun bersara ( sudah bergelar juara Kebangsaan ) bertanding pada kejuaraan tersebut. Antaranya ialah Dulamid Rudin dari Sabah ( Johan SDPBM Kebangsaan 2006 ), Amaruszati Noor Rahim dari Pahang( Johan SDPHK 2003 ), Mejar Radzi Abdul Hamid dari Angkatan Tentera Malaysia yang kini bergelar Leftenan Kolonel ( Johan SDPBM 2009 ), Intan Marhayu Rahman dari Selangor iaitu anak kepada Prof. Dr. Rahman Shaari ( Johan SDPHK 2004 ) dan Noor Hasnida Abd. Ghani dari Perlis iaitu Johan pada tahun tersebut. Begitu juga nama-nama seperti Mohd. Mahat dari Melaka yang kini sering mewakili PDRM, Shamsul Wahab dari Johor, Awang Asim Awang Besar dari WP labuan dan Nur Zafran Zainal Abidin dari Kelantan dan Sahrin Haron mewakili IPTA merupakan deklamator yang tidak asing lagi untuk acara pertandingan seperti ini. Malah, merekalah antara otai-otai yang masih setia bergerak bersama jiwa deklamasi puisi seiring dengan pelapis-pelapis muda yang mewarnai acara yang diadakan saban tahun mengisi kalendar bulan merdeka.

Pada tahun berkenaan saya merupakan peserta junior dan deklamator yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Peringkat Kebangsaan. Ketika itu saya mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Di Peringkat Wilayah, saya telah berjaya menewaskan pencabar terdekat ketika itu iaitu Alizan Mat Rasat. Pada ketika itu, di Peringkat Wilayah masih tertanya-tanya siapakah juara baru menggantikan tempat 'Bob' ( Noordin Ahmad-Johan Kebangsaan SDPHK 2001 yang juga juara 3 kali berturut-turut Peringkat WP Kuala Lumpur ). Apabila nama saya diumumkan sebagai johan melalui Puisi 'Mantera Anak Wawasan' karya Borhan Md. Zain, ramai yang terkejut kerana saya bukanlah peserta pilihan dan tidak pun disebut-sebut boleh menjadi juara.

Biarlah orang nak kata apa. Apa yang penting keputusan hakim adalah muktamad dan berlandaskan konsep penghakiman yang bijaksana kerana pada malam berkenaan Hakimnya terdiri dari Dr. Lim Swee Tin, Borhan Md. Zain, Dr. Ahmad Razali Yusof dan Tn. Hj. Marzuki Ali.

Keesokan harinya saya terus berjumpa Abang Aziz, Setiausaha GAPENA untuk mendaftar diri sebagai peserta yang layak ke Peringkat Kebangsaan. Setelah urusan pendaftaran selesai, saya menerima tugasan baru iaitu saya perlu menghafal Puisi 'Pewaris Kecemerlangan' karya Rahimi NS sebagai amanah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

SDPHK tahun 2002 diadakan pada 21 hingga 24 Ogos 2002 di Kangar, Perlis yang merupakan acara utama Festival Sastera Perpaduan Malaysia ketika itu. Ini Bererti bukan sahaja peserta deklamasi puisi berada di situ malah penggiat-penggiat sastera baik muda dan ternama berkampung lebih kurang 5 hari 4 malam di Hotel Putra Palace. Manakala acara pertandingan diadakan di Dewan Kayangan, Kangar.

Seperti yang pernah saya perkatakan dalam entry sebelum ini, persahabatan antara peserta ketika itu amat erat sekali walaupun ada hal-hal kecil yang mudah menjadi buah mulut yang kurang menyenangkan berlaku ( untuk maklumat lanjut dan panjang lebar boleh baca di blog Leftenan Kolonel Radzi melalui entry minit Mesyuarat SDPHK 2002 ), tetapi kami masih beradam dalam lingkungan warga peserta yang akrab walaupun kami 'menikam dalam senyap'. Menarik bukan, dunia Sayembara Deklamasi Puisi ini...

Perkara menarik yang hendak dikongsi juga ialah, kebanyakan kami para deklamator pada ketika itu adalah datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza iaitu ada yang profesionnya penulis, ada yang bergelar pensyarah dan penuntut dalam bidang kesusasteraan, ada yang masih menuntut di bidang yang bukan dunia sastera dan ada yang masih di bangku sekolah menengah lagi. Tetapi, kami berhimpun dalam satu rasa, satu selera mengangkat minat deklamasi puisi patriotik sebagai perjuangan kami. Pagi-pagi lagi kami mengisi masa terluang di luar Hotel dengan beriadah dan ujian vokal secara berkumpulan selain mengadakan sesi raptai dan latihan puisi secara santai di kawasan taman. Selain itu juga, banyak pengisian-pengisian menarik dengan acara Kenduri Kampung dan lawatan-lawatan di sekitar Perlis. malah, apabila tiba waktu raptai penuh, kami tekun dengan disiplin kami di pentas seolah-olah acara tersebut diadakan secara 'live' untuk rancangan tv ( walaupun ia dirakam oleh RTM ).

Dipendekkan cerita, keputusan pada malam akhir 24 Ogos 2002, memang mengejutkan kerana saya telah diumumkan terelbih dahulu meraih tempat ke-3, Intan Marhayu Rahman dari Selangor mendapat Naib Johan dan Noor Hasnida dari Perlis menjadi Juara.

Sabtu, 24 Oktober 2009

SIBUK

Sibuk,
sibuk menyibuk aku sibuk,
aku sibuk dalam kesibukan.

Sibuk,
merenung kesibukan dalam sibuk.

Aku sibuk meragut kesahihan.

Khamis, 17 September 2009

Selasa, 8 September 2009

PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009 PERINGKAT NEGERI MELAKA DAN GEMA PUISI PATRIOTISME

Alhamdulillah, beberapa hari yang sudah saya baru sahaja menerima undangan untuk jemputan Deklamasi Puisi oleh Kak Nita dari IKSEP untuk mengisi slot Program Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Melaka dan Gema Puisi Patriotisme pada 1 Oktober 2009 (Khamis), jam 2.30 petang, bertempat di Pentas Utama Pasaraya Mydin, MiTC, Ayer Keroh, Melaka.

Program ini adalah anjuran bersama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka. Ia diadakan dengan tujuan mendekatkan masyarakat umum dengan acara apresiasi sastera melalui deklamasi dan penghayatan puisi bertemakan patriotisme, kenegaraan dan semangat jati diri bahasa kebangsaan di samping memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat umum tentang ciri-ciri patriotisme dalam konteks negara, bangsa dan bahasa serta menghargai peranan penulis dan penyair puisi terutamanya 'Anak Negeri Melaka'.

Pada program itu nanti, selain saya, Saudara Sahrul Mubarak Ahmad (Johan SDPM Peringkat Negeri Melaka tahun 2004 & 2006) dan Norliza Md. Yamin (Naib Johan SDPM Peringkat Kebangsaan tahun 2007 yang juga kini aktif dalam memartabatkan puisi tradisional Melayu) akan bersama-sama membuat persembahan pada program di musim hari raya itu nanti.

Para sahabat luar Melaka, 'jom turun Melaka, datangle tengok'.