Isnin, 27 September 2010

'MARUAH PERJUANGAN' - IBARAT JODOH PILIHAN IBU BAPA

Setiap tahun tatkala menjelang Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan (SDPBK) terutamanya Peringkat Kebangsaan atau Peringkat Akhir, pihak penganjur biasanya akan menetapkan sajak-sajak atau puisi wajib untuk seseorang deklamator.

Contoh yang paling dekat ialah Akademi Fantasia, seseorang pelajar itu diberi lagu wajib untuk dipersembahkan pada setiap konsert mingguan. Suka atau tidak kena terima. Pandai atau tidak mereka terpaksa mempersembahkan tugasan maha getir tersebut dengan jayanya, seolah-olah lagu itu mereka yang punya.

Begitulah juga dalam SDPBK, para deklamator diberi tugasan untuk mendeklamasikan sajak-sajak yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Tiada peserta yang akan mendeklamasikan sajak atau puisi yang sama dengan peserta lain.

Ada yang dapat sajak yang sedap atau 'favourite' dan ada pula yang dapat sajak bukan 'favourite' atau pun sajak yang jarang dan tidak pernah terfikir oleh mereka untuk mendeklamasikannya.

Bagi saya sajak bukan ukuran kemenangan seseorang deklamator. Sajak yang sedap atau sajak 'favourite' bukan jaminan boleh menang, manakala sajak bukan 'favourite' atau kata lain sajak ibarat 'jodoh pilihan ibu bapa' bukan bereti menempah tiket untuk tewas.

Contoh yang paling hampir ialah pada diri saya sendiri. Tahun lalu saya mendapat sajak sedap atau sajak 'favourite' saya semasa terpilih ke Peringkat Kebangsaan berjudul Mengenangmu Pejuang karya Saharunizam Abdul Talib. Sajak inilah yang lebih sebulan saya jaja ke sana ke mari dalam apa jua majlis-majlis yang berkaitan persembahan deklamasi sajak / puisi di Melaka termasuklah semasa Sambutan Hari Pahlawan 2009 di Melaka juga. Akhirnya, apabila dibawa di pentas pertandingan, saya gagal mendapat tempat dan akhirnya tewas membawa dendam setahun. Begitu jugalah pada tahun- tahun sebelumnya iaitu tahun 2005, 2007 dan 2008 saya memang mendapat sajak yang sedap. Nasib yang sama terus melanda.

Berbeza pada awal-awal kemunculan saya ke Peringkat Kebangsaan pada tahun 2002 di Perlis. Saya telah mendapat sajak yang tidak pernah saya bawa dan tidak mungkin saya akan membawakan ia untuk acara-acara deklamasi sajak dalam diari persembahan saya. Sajak tersebut berjudul Pewaris Kecemerlangan karya Rahimi N.S.

Seminggu sahaja menghafal puisi tersebut. Koreograf gaya yang ringkas. Tiada nada menjerit-jerit . Banyak anti klimaks. Struktur sajaknya macam pantun.

Dalam hati, mesti hambar persembahan saya pada pandangan penonton dan saya tidak pernah sekalipun memasang azam mendapat tempat pada ketika itu. Maklumlah pertama kali ke Kebangsaan.

Akhirnya, pada malam keputusan, dengan puisi itulah saya berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan mendapat tempat ketiga Peringkat Kebangsaan.

Berbalik pula pada puisi yang telah dipertanggungjawab kepada saya oleh GAPENA untuk saya deklamasikan pada 2 Oktober 2010 ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, puisinya berjudul Maruah Perjuangan karya A. Rahim Abdullah. Ia merupakan salah satu sajak yang termuat dalam Antologi Jamung Merdeka. Saya terimanya dengan seikhlas jiwa raga saya.



Saya pernah meneliti sajak ini tetapi tidak pernah membaca atau mendeklamasikan ia dalam mana-mana acara sekalipun sepanjang tempoh lebih lima tahun ini (Jamung Merdeka diterbitkan pada tahun 2005). Maksudnya ia bukan puisi pilihan saya. Tetapi siapa kata 'pilihan ibu bapa' tak boleh bawa bahagia, kan.

Justeru saya terus berfikiran positif bahawa puisi pilihan yang kita suka tidak menjaminkan boleh meraih kemenangan kalau tidak kena caranya dan puisi bukan pilihan pula tidak mungkin menggagalkan kita kalau kita ikhlas menerima, ikhlas mempersembahkan ia seperti mana kehendak penulis!

5 ulasan:

  1. salam.. akumurba : berfikiran positif dan rezeki itu Allah tentukan.. buat yang terbaik demi kerjaya seni kita.. ayuh !! semarakkan sayembara sabtu ini..

    BalasPadam
  2. Benar...i nak target dapat giliran 6 dan ke atas...

    BalasPadam
  3. Al Fatihah buat Rahimi N.S yg telah kembali ke rahmutullah pada 21 Ogos 2014

    BalasPadam
  4. Al Fatihah buat Rahimi N.S yg telah kembali ke rahmutullah pada 21 Ogos 2014

    BalasPadam