Isnin, 31 Ogos 2009

MENEKUNI ERTI KEMERDEKAAN DI BAWAH BUMBUNG 1 MALAYSIA



Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Edisi ke-52 tahun ini!

Sambutan Hari Kebangsaan di MiTC Ayer Keroh Melaka pada tahun ini cuma mengambil masa selama 45 minit sahaja selaras dengan saranan pihak Kerajaan Pusat baru-baru ini. Tiada perarakan dan acara meleret seperti sambutan sebelum ini. Memandangkan sambutan ini diadakan pada bulan Ramadhan al mubarak, ia diadakan dengan penuh kesyukuran, sederhana dan cukup bermakna bagi yang menghargai apa itu nilai kemerdekaan yang sebenarnya.



Seperti biasa, aturcara dimulakan dengan alu-aluan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Melaka dan barisan tetamu-tetamu Kehormat, diikuti perarakan Jalur Gemilang dan Nyanyian Lagu Negaraku, Bacaan doa, Lafaz Ikrar pelbagai kaum, persembahan Deklamasi Puisi 1 Malaysia ( oleh saya, Lee Ying Jye dan Kurudevan ), Koir dan Acara Mempertahankan Diri. Itu sahaja.

Inilah dia puisi yang saya tulis khas dan dideklamasikan oleh kami bertiga :


MENEKUNI ERTI KEMERDEKAAN
DI BAWAH BUMBUNG 1 MALAYSIA
FAIRUZAN HAJI ABDUL MAJID

Mari kita tekuni erti dan tafsir kemerdekaan
yang telah berlari di jarum waktu
sejarah bangsa yang telah sejak sekian lama
diungkapkan dalam hayat Malaysia merdeka.

Hari ini kita bangkit dengan derap langkah perkasa
sebagai warga sejati pewaris kecemerlangan mengecap bahagia
hari ini kita tersenyum dengan wajah ceria berbudaya
sebagai generasi hebat penerus kegemilangan rakyat pelbagai warna
disatukan di bawah bumbung 1 Malaysia, abadinya warga.

Di jarum waktu yang pantas berlari
kita mengejar untuk belajar erti mengisi kemerdekaan
dengan tekun kita membuka jendela episod baru – edisi ke 52
rimba belukar sudah berkembang menjadi kota
hasil tanah kini bertukar menjadi laba
anak bangsa telah celik akal minda
para cendekia mampu berdiri di barisan utama
bumi Malaysia, walau kecil tetap gah di peta dunia!



Ingat, pesan lima bapa kita yang terdahulu
yang pernah membawa kita bersama bahtera mengisi erti kemerdekaan
dari ruang nafas kemerdekaan, ditelusuri dengan nafas pembangunan
dari nafas pembangunan disahut dengan perjuangan tali perpaduan
dari tali perpaduan dilakari dengan menara pemodenan
dari menara pemodenan kita diajak membentuk acuan modal insan.



Hari ini adalah pentas membentuk acuan bangsa
di bawah kepimpinan berwibawa dan terhormat
1 Malaysia kini menjadi laung-laungan di setiap penjuru Negara
adalah citarasa bangsa di bumi keramat
dalam tekad memurnikan ikatan perpaduan seluruh rakyat
dengan mendasari isi Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
kerana, di bawah bumbung 1 Malaysia
kita mengecapi nikmat kemerdekaan dengan penuh penerimaan,
penuh sifat kenegaraan dan penuh keadilan.

Betapa, pergeseran dan pertelingkahan
yang memutarbelitkan fakta masa lalu
adalah serangan tajam yang perlu diusir
daripada menjadi wabak
dan terus menjajah minda di era teknologi.

Adakah kita mahu anak generasi hebat
tersungkur rebah dipanah segala tipu muslihat
para petualang dan pengkhianat dari bangsa sendiri ?

Ayuh, anak bangsa pelbagai warna
dan asal turunan di bumi merdeka ini
kita adalah rakyat terhebat mengisi dan meneruskan perjuangan
di bumi berdaulat di bawah bumbungnya 1 Malaysia
kerana kita dan para pemimpin bersama mengisi wadah juang
rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Malaysia tetap di hati!

Kota Laksamana, Melaka
21 Ogos 2009

MALAM SEJUTA KASIH SELAUT KENANGAN



Kunjungan Pak Lah dan isteri ke Melaka pada 20 Ogos lalu amat bermakna buat isi Negeri Melaka. Kunjungan beliau diraikan dengan Majlis Makan Malam bersama lebih kurang 10 000 ribu rakyat Melaka berbilang kaum dan agama tidak mengira pangkat dan keturunan. Masing-masing berbangga menjadi anak Malaysia kerana berpeluang menjamu selera bersama bekas pemimpin nombor satu Negara.

Majlis yang diberi nama Malam Sejuta Kasih Selaut Kenangan itu adalah ilham YAB Ketua Menteri Melaka bagi meraikan Yg. Amat Berbahagia Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5 dan Yg. Amat Berbahagia Tun Jeanne Abdullah, bertempat di Dewan MitC, Ayer Keroh.



Alhamdulillah, kali ini belum pun hilang penat dan lelah Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, saya dan beberapa orang sahabat deklamator berbangsa Cina dan India telah bergabung untuk membuat persembahan Deklamasi Puisi khas untuk majlis berkenaan dengan judul puisi Warkah Penghargaan Buatmu Tun Abdullah.



Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Hamdan Hasnan, Pengarah Penerangan Negeri Melaka yang mencadangkan nama saya untuk persembahan puisi pada malam itu dan tidak lupa juga kepada Encik Rodzuan Ismail, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka yang telah melatih kami untuk persembahan deklamasi puisi dengan teknik terkini menggunakan clip mic.



Isnin, 24 Ogos 2009

KISAH SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA 2009 PERINGKAT KEBANGSAAN ( 13-16 OGOS 2009 )


Kenangan di Matic - Terima kasih Saudara Norhisyam wakil WPKL yang sudi memberikan shoot berharga ini pada Saringan malam kedua.

Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 sudah menutup tirai pada 16 Ogos lalu setelah kita menyaksikan Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Abdul Hamid dari Angkatan Tentera Malaysia dengan membawa Puisi Terima Kasih Pengalaman Karya Sholihin Osman yang sudah sembilan kali ke Peringkat Kebangsaan, baru kini mampu 'menjamah' kedudukan tempat dan sekaligus menjuarai Kategori Sajak Terbuka iaitu pertandingan yang cukup bermakna dan 'berprestij' di kalangan para deklamator pada tahun ini. Tempat Kedua dimenangi oleh Suliha Yusof dari Negeri Kedah yang mendeklamasikan puisi Srikandi Merdeka karya Abdul Hadi Yusof dan Ketiga dimenangi oleh orang lama yang 'mengatakan dirinya baru' iaitu Tarmizi Kasim dari Putrajaya dengan Puisi Pahlawan Tanah Merdeka karya Hassan Baseri Budiman. Tahniah juga kepada Chief Inspektor Mohd. Mahat wakil PDRM yang berjaya masuk ke Peringkat Akhir walaupun tewas dengan puisi Di Bawah Bumbung Langitmu karya Jariah Hj. Taha.

Bercerita sedikit mengenai Juara baru tahun ini iaitu Lefetenan Kol. Mohd. Radzi, saya amat bertuah pada hari pertama berada di Kuala Lumpur sudah pun lepak di Restoran Mamak di Bukit Bintang bersama Tuan Radzi ni. Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana belanja makan roti canai dan air teh tarik. Tahun lepas pun beliau pernah belanja saya makan dan menolak hasrat saya untuk belanja beliau. Alahmadulillah, rezeki beliau murah kerana berjaya merangkul juara dalam SDPM tahun ini. Saya dengan deklamator lain cuma panggil nama sahaja tetapi memandangkan beliau ni berpangkat dalam tentera, jadi sebagai rasa hormat, saya penggil beliau Tuan. Saya mula kenal beliau ni sejak tahun 2002 lagi semasa kami 'berperang' dalam SDPM di Kangar Perlis. Masa itu saya mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beliau mewakili Angkatan Tentera Malaysia. Rasa-rasa saya masa itu beliau masih berpangkat Mejar dan sudah masuk 4 kali ke Kebangsaan manakala saya ketika itu baru pertama kali yang akhirnya pada tahun berkenaan saya telah menewaskan beliau dengan meraih Tempat Ketiga Kebangsaan. Inilah rencah dalam Sayembara Deklamasi Puisi, tahun ni kita di atas, mungkin tahun-tahun mendatang kita di bawah pula. Tapi, beliau adalah seorang yang baik hati selain mempunyai disiplin yang tinggi sebab itulah, kami peserta ketika itu melantik beliau dengan sebulat suara menjadi penghulu kami. Suasana Sayembara pada tahun 2002 memang agak berbeza jika dibandingkan dengan Sayembara pada masa kini. Kami 18 orang peserta semua berada dalam satu 'kapal'. Pergi minum sama-sama. Pergi lepak pun sama-sama. Tak macam hari ini, peserta kurang mempunyai semangat persaudaraan yang tinggi. Malangnya ada peserta Syair tak kenal peserta Sajak. Dan lebih malang lagi, peserta sajak tak kenal seteru mereka sendiri.
Tahun lepas, cuma saya dan beliau yang berjaya menampilkan kelainan dalam SDPM 2008 di Dewan DBKL. Malangnya, dua-dua kecundang pada tahun lepas. Persembahan Tuan Radzi pada malam Akhir di Angkasapuri amat berbeza berbanding pada malam Saringan di Matic. Pada saya, saya lebih mengangkat Tuan Mat dari PDRM sebagai yang terbaik di Peringkat Saringan dan mengandaikan beliau akan meneruskan kemampuan untuk memberikan persembahan yang terbaik berbanding peserta lain. Tetapi, apabila saya dan isteri menyaksikan persembahan Tuan Radzi pada malam Akhir, saya merasakan ini mungkin satu kejutan jika Radzi juara kerana persembahan beliau yang tenang dengan gaya beliau sendiri ditambah lagi dengan gaya yang cukup ringkas dan bermakna. Terutama pada patah kata ' lihatlah di belakang dirimu...' tangan beliau diarahkan ke hadapan bukannya ke belakang. Seolah-olah beliau adalah penyaksi kelakuan kita. Memang tepat sekali gaya dan bahasa tubuh yang dipersembahkan!

Kali ini saya telah gagal untuk mara ke Peringkat Akhir Sayembara yang diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri setelah keputusan Panel Juri di Peringkat Saringan di Matic tidak memihak kepada saya dan 16 peserta Kategori Sajak Terbuka yang lain.

Sudah ditakdirkan tewas hendak buat macam mana lagi. Sudah rezeki untuk dapat saguhati sahaja. Memang Puisi Mengenangmu Pejuang karya Sahrunizam Abdul Talib yang saya deklamasikan pada malam pertandingan saringan kedua mungkin tidak mencapai 'KPI' dan ' selera ' panel juri. Saya sendiri merasakan saya tidak berasa puas atau 'kurang umph...' mendeklamasikan puisi tersebut berbanding masa raptai dan beberapa persembahan yang saya buat melalui puisi yang sama ketika beberapa acara baca puisi di Melaka.

Dalam blog ini saya tidak mahu bercerita mengenai panjang lebar mengenai 2 Kategori lain yang dipertandingkan iaitu Syair dan Sajak SMJK. Cuma sekadar mengucapkan tahniah kepada Saudara Faizal Jamil dari Sarawak yang telah berjaya menjadi Johan Kategori Syair hasil pembawaan Irama Syair Sarawak yang cukup mengasyikkan semasa beliau menyampaikan Syair Dandan Setia dan tahniah juga kepada Saudara Joel Ting Shi Xian dari Johor yang berjaya meraih juara dalam Kategori Sajak SMJK.

Banyak benda yang hendak dikongsi selama hampir seminggu berada di Kuala Lumpur dalam SDPM 2009. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara terutamanya kepada Cik Normizanum yang menyelenggara penginapan para peserta SDPM 2009 dengan cukup baik dan selesa kerana kami ditempatkan di Hotel Radius International, di Bukit Bintang KL dan segala prasarana pertandingan seperti tempat di MATIC dan Angkasapauri baik dari segi makan minum dan juga pengangkutan ( walaupun saya dan sahabat saya Fazreen peserta Negeri Sembilan pernah berjalan kaki dari Matic pulang ke Hotel kerana ketinggalan bas selepas Saringan hari pertama ).


Ramai sahabat handai mengatakan persembahan saya baik dan tidak ada patah-patah kata yang tertinggal cuma ada sedikit kelemahan dari segi teknik persembahan iaitu chorus saya kurang jelas kerana berganjak setapak ke belakang pada bait tertentu dalam puisi yang saya deklamasikan kerana saya memikirkan bahagian tersebut saya perlu melontarkan suara. Dalam ilmu muzik sekalipun, jika seseorang artis ingin melontarkan vokalnya, kedudukan mulut perlu dijauhkan sedikit dari mikrofon bukan didekatkan. Apabila sampai ke bahagian nada dan intonasi rendah, maka ia perlu dirapatkan barang sejengkal. Puzi Hadi juara pertama Sayembara Deklamasi Puisi tahun 1987 pun menggunakan teknik berganjak setapak ke belakang untuk nada tinggi dan berganjak semula ke depan untuk nada rendah. Tetapi, apa yang saya praktikkan pada malam itu bukan bererti meniru gaya Puzi Hadi tetapi ia adalah teknik dalam pengendalian alat pembesar suara.



Kebebasan memegang, mengendalikan penggunaan mikrofon yang dibenarkan oleh 'Stage Manager' mulai tahun ini ada baik dan tidak baiknya. Saya menghadapi kesukaran untuk meng' adjust ' mikrofon saya kerana peserta sebelum giliran saya ialah Saudara Tarmizi Kasim dari Putrajaya ( tinggi lampai orangnya ). Tentunya, beliau sudah menguruskan awal-awal lagi ketinggian mikrofon mengikut ketinggiannya. Apabila sampai giliran saya, terkial-kial saya membetulkan laras 'stand mic' saya. Ada yang perasan kelakuan saya atas pentas mengatakan hampir 3 kali saya membetulkan mikrofon hingga menjejaskan 'mood' dan roh puisi sebelum memulakan penyebutan judul puisi dan penulisnya. Saya rasa bait pertama saya tidak mencapai 'KPI' yang saya harapkan. Namun, saya bangkit bermula bait kedua dan seterusnya. Bait ketiga pun ada masalah katanya, kerana eksperimentasi melangkah setapak ke belakang untuk nada tinggi kurang menyengat disebabkan kedudukan 'stand mic' yang terlalu tinggi. Takkan saya nak membongkok sambil memusing-musingkan pelaras ' stand mic ' dan sekadar saya berpuas hati pada malam tersebut hanya dengan menarik ke bawah sedikit 'stand mic' yang diberikan. Tak percaya lihat seperti di gambar.



Satu perkara lagi yang saya nak perkatakan di sini ialah insan yang tidak bertanding di Kebangsaan tetapi menjadi parasit kepada beberapa orang peserta. Mudah sahaja untuk saya rumuskan di sini, beliau jenis insan yang seperti ibaratnya ' melambung-lambungkan sesuatu objek hingga ke puncak tertinggi dan kemudian meruntuhkan ia dengan sedalam-dalamnya.'

Hari terakhir sebelum pulang ke Melaka, saya bawa isteri saya jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur terutanya di KLCC.

Nampaknya tahun depan saya terpaksa rehat seketika kerana sudah tiga tahun berturut-turut saya menjadi Juara Negeri. Mungkin rezeki tahun 2011 akan muncul Akumurba yang bangkit dengan gaya dan teknik terbaru.

Ahad, 9 Ogos 2009

MINGGU SEBUAH PERJUANGAN


Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka Peringkat Kebangsaan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Setakat ini saya sudah dimaklumkan oleh pihak penganjur mengenai jadual perjalanan program sepanjang minggu Sayembara.

Rabu ini 12 Ogos, akan diadakan Sesi Pendaftaran di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Bangunan MAS di sebelah pagi. Manakala sebelah petang akan diadakan Bengkel Deklamasi Puisi yang turut akan diadakan di situ. Malamnya pula, ada taklimat dari pihak urusetia. ( Hotel atau tempat menginap peserta buat masa ini belum dimaklumkan lagi ).

Khamis hingga Sabtu 13-15 Ogos 2009, akan diadakan Saringan semua Kategori dalam Sayembara ini yang dijangkakan akan diadakan di MATIC Jalan Ampang.

Manakala, untuk Peringkat Akhir dan Majlis Penyampaian Hadiah akan diadakan di Angkasapuri jam 8.00 malam, yang turut akan dihadiri oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Kepada peminat-peminat puisi sekalian jangan lupa hadir untuk memberi sokongan kepada kami para deklamator!

Selasa, 4 Ogos 2009

DI SEBALIK MAKNA PEJUANG


Dalam menghayati puisi Mengenangmu Pejuang karya Sahrunizam Abdul Talib semasa saya mendeklamasikannya semasa di Kempen Hari Pahlawan yang lalu, makna pejuang itu cukup luas untuk saya tafsirkan sebenarnya, dan saya tidak nafikan bahawa penulis itu sendiri berkehendakkan satu maksud yang lebih luas skopnya dalam puisi tersebut.

1. Pejuang secara tersuratnya adalah para pejuang tanah air itu sendiri, para perajurit yang telah berbakti dalam mempertahankan maruah, keselamatan dan peradaban negara baik di zaman menuntut kemerdekaan dan juga hari ini. Ini termasuklah wira dan wirawati negara yang menjawat jawatan sebagai tentera dan polis. Baik yang berpangkat tinggi mahu pun berpangkat rendah, dikenali atau tidak, yang terkorban di medan perang atau menang, juga disebut pejuang. Atau mungkin merekalah antaranya pejuang tanpa nama yang tidak mementingkan pangkat dan darjat seperti yang dikehendaki oleh penulis.

2. Pahlawan-pahlawan tanah air kita seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Tok Janggut dan Mat Saleh yang bermati-matian penentang pra penjajahan Inggeris di tanah air kita pada masa lampau. Mereka juga adalah pejuang.

3. Negarawan Negara yang berkecimpung dalam arena pemikiran politik dengan niat memajukan bangsa, para penulis yang memperjuangkan martabat bangsa serta bahasa melayu dan erti maruah bangsa di mata dunia, karyawan filem yang mengangkat sosio budaya rakyat Malaysia untuk dikenali masyarakat dunia, para penyair dan pencinta seni budaya yang memperhambakan hampir seluruh hayat mereka untuk bidang yang dicintai adalah pejuang sebenarnya.

4. Para saintis, angkasawan dan para jurutera dalam pelbagai bidang yang mencari dan menghasilkan penemuan-penemuan baru untuk tujuan keharmonian hidup manusia dan alam sejagat adalah juga para pejuang.

5. Para nelayan yang berhari-hari, mungkin berbulan-bulan meraih rezeki lautan hingga sanggup meninggalkan kerinduan dan kasih sayang keluarga tercinta demi mencari sumber protein untuk negara itu pejuang namanya.

6. Ibu bapa yang hidup miskin dan papa yang bertungkus lumus bekerja siang malam, pagi petang menyara kehidupan keluarga serta memberi pendidikan secukupnya demi kesejahteraan yang selesa untuk masa depan anak-anak adalah pejuang.

7. Insan-insan yang meneruskan kehidupan harian demi Negara walaupun ada di antara kita, sahabat-sahabat kita, adik beradik kita, ayah ibu kita atau sesiapa sahaja yang berjuang menentang kesakitan akibat kanser, strok dan sebagainya...itu adalah pejuang pastinya.