Ahad, 28 Jun 2009

"Raja Psiko" Kembali Wakili Perak



Alhamdulillah, sudah hampir separuh negeri-negeri berjaya menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka ( SDPM 2009 ) sekitar bulan Jun yang penuh mencabar ini.

Melaka masih lagi dalam musim debaran kerana pertandingan akhir telah dianjakkan dari 28 Jun kepada 18 Julai 2009 yang akan diadakan di Taman Budaya Ayer Melaka. Yang mana kali ini, saya akan membuat satu anjakan paradigma untuk bertanding dalam 2 kategori iaitu selaku juara menanti kategori puisi dan bertanding untuk kategori Syair Merdeka. Saya bakal mempersembahkan bacaan Syair Bidasari dalam irama Narasi.

Tetapi sebelum itu, sebagai makluman sahabat dan teman seperjuangan semua, makluman terkini yang saya perolehi daripada "wartawan-wartawan aktivis puisi" seperti Saudara Mohd Mahat dari PDRM, Amran, Gusdur dan Awang Asim dari Labuan yang kini sibuk menjadi juri di belah Sabah dan Labuan memaklumkan bahawa Tahun ini pentas SDPM 2009 akan bergegar dengan kemunculan kembali Raja Psiko dari Perak iaitu Saudara Azmi Ismail. Senang dan mudah didampingi orangnya kerana sikap beliau yang suka menyakat tetapi beliau seorang yang baik hati kerana telah membimbing saya pada SDPM Peringkat Kebangsaan tahun 2007 melalui Puisi Taman Merdeka.

Sesungguhnya, SDPM 2009 pada kali ini tidak kurang hebatnya kerana bukan semata-mata kredibiti juara setiap negeri itu sendiri tetapi ia masih mengekalkan peserta-peserta lama yang akrab seperti Saudara Gusdur ( Shamsul Wahab ) dari Johor, Suliha dari Kedah dan Pamela yang masuk tiga kali berturut-turut mewakili WP Labuan...begitu juga bakat baru yang baru naik seperti Atikah Desa dari Langkawi.

Saudara Amran juga memaklumkan bahawa kali ini Terengganu akan diwakili oleh 'orang baru' iaitu saudari Mastura.

Sehingga kini ada beberapa negeri yang akan melahirkan sama ada johan lama atau johan baru pada Julai ini. Antaranya WP KL 4 Julai, PDRM 17 Julai dan Melaka pada 18 Julai ini.

Sama-sama kita saksikan.

Dan pastinya tahun ini nantikan kemunculan saya di Taman Budaya Melaka dengan puisi hafalan terbaru saya iaitu TUN PERAK dan kategori Syair ialah SYAIR BIDASARI !

Isnin, 15 Jun 2009

Tahniah 'Gusdur' , Terima Kasih Raihani!

SDPBM 2009 Peringkat Negeri Johor telah pun berlalu...walaupun saya tidak menonton dengan lebih dekat pertandingan yang diadakan di Plaza Kotaraya JB pada 13 Jun 2009 (Sabtu) yang lepas, kerana saya ada program, saya telah mendapat maklumat bahawa Keputusan SDPBM 2009 Peringkat Negeri Johor dijuarai oleh Juara Menanti iaitu Saudara Shamsul Wahab atau dikenali sebagai 'Gusdur' ( gelaran yang diberikan oleh rakan-rakan lama dalam Sayembara ). Tempat Kedua oleh Sharin Haron yang juga sahabat saya yang baru berpindah dari Perak. Ketiga, saya tidak kenal.Tapi, wanita katanya.

Gusdur menjuarai pertandingan tersebut dengan mendeklamasikan puisi Ayahku, Seorang Penjual Roti dengan begitu baik penghayatan dan karektor pada bahagian Tunku Abdul Rahman. Manakala Sharin pula dengan puisi lamanya Gemuruh Langit Kita yang diberi nafas baru katanya.

Dalam pada itu juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih berbanyak kepada Raihani (kawan karib yang sentiasa setia) kerana telah memposkan CD Koleksi Syair Hasil Karya bondanya iaitu Dr. Zurinah Hassan untuk saya manfaatkan sebagai ilmu sepanjang hayat...

Rabu, 3 Jun 2009

SALAM SEJAHTERA ...SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA 2009 (SDPM2009)

Sudah hampir sebulan saya tidak menulis entry ini...hari ini sudah tiba masanya untuk saya mengulangi dan memperkatakan tentang 'bara' SDPM2009 yang nampaknya akan bermula pada Bulan Jun ini untuk semua negeri-negeri di Malaysia termasuk IPT, PDRM dan ATM.

Kelantan sudah pun selesai penganjurannya pada Mei lalu. Tahniah kepada Siti Nur Zafran Zainal Abdin yang telah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut. Moga-moga kita dapat berentap di Kebangsaan Julai ini. Insya Allah.

Semalam, saya menjadi orang yang pertama mendaftar diri untuk SDPM2009 di Taman Budaya Negeri Melaka ( walaupun selaku Johan Menanti ). Kali ini, Pegawai Kebudayaan yang mengurusetia SDPM 2009 Peringkat Negeri Melaka ialah Encik Zainal Jaslan, Timbalan Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka. Katanya juga, para juri kali ini adalah terdiri dari golongan 'muda'... bukan lagi menampilkan aktivis sastera veteran dengan harapan para juri baru kali ini dapat memberikan pandangan yang baru dan tidak bersifat berat sebelah.

Yang penting, sebagai peserta buatlah yang terbaik untuk menarik perhatian juri 'baru' dalam SDPM 2009 nanti.