Isnin, 11 Januari 2010

PUISI SEDEKAD PERJUANGAN BUAT Y.A.B. DATUK SERI HJ. MOHD. ALI MOHD. RUSTAM SEBAGAI KETUA MENTERI MELAKA





SEDEKAD PERJUANGAN
( BUAT Y.A.B. DATUK SERI HAJI MOHD. ALI BIN MOHD. RUSTAM )
DI PAGI PERHIMPUNAN KHAS 2 DISEMBER 2009 – SERI NEGERI

KARYA / DEKLAMATOR : FAIRUZAN HJ. ABDUL MAJID

Mari sama-sama kita tekuni
dan mentafsir erti sebuah perjuangan.
Melaka Negeri bertuah ini,
di sini menjadi saksi perjuangan seorang pemimpin
di sini menjadi bukti bijaksana seorang pewaris keterbilangan.

Di pagi ini, genap sedekad kita menghargai perjuangan seorang pemimpin
perjuangan seorang patriot bangsa, perjuangan seorang lelaki perkasa
adalah perjuangan seorang Ketua Menteri di Bumi Hang Tuah.

Ayuh, kita toleh sejenak akan paparan sejarah sedekad yang lalu
kemenangan bererti bermula tirai perjuangan
tanggal 2 Disember 1999 terlakarlah satu amanah sebuah diari
diari perjuangan Ketua Menteri
dahulu dipimpin kini memimpin
demi Melaka bumi bertuah.



Dalam membuka jendela baru
Melaka Maju 2010 menjadi tunjang pancang perjuangan
dalam arus sedekad perjuangan seorang pemimpin
Melaka terus tersohor hebat
sejarah menjadi bukti kemegahan negeri
Warisan Dunia menjadi kebanggaan
segala prasarana bertaraf dunia
ekonomi rakyat semakin baik
modal insan berminda IT semakin celik
pekan kecil disusun molek
jalan raya moden dihias cantik
landskap ceria dan lampu menarik
makmurnya Melaka terbersih, terindah.

Di bawah pentadbiran sedekad perjuangan seorang pemimpin
3 daerah maju bersaing
berbumbungkan pelancongan, lantainya pertanian, dindingnya industri
tiangnya dipasak kukuh semangat pemimpin berminda jauhari
bandar besar berkembang menjadi kota dagangan
lihatlah MiTC, Hang Tuah Jaya dan Bandaraya Melaka
telah muncul kota niaga, pasaraya ternama dan pelabuhan moden
menarik minat para juragan baik tempatan mahu pun luar
lantas terpacak Menara Taming Sari dan juga Eye On Malaysia
Sungai dan Pantai Melaka dijaga elok
mendamba pelancong singgah bertandang
produk makanan terus diperkenal
kelapa pandan, misai kucing, jus buah Melaka
tidak dilupa mangga ‘Melaka Delight’
selain tersergam hotel 5 bintang dan litar go-kart bertaraf antarabangsa
pembangunan sukan rancak melonjak
ke arah SUKMA di tahun depan
agama tetap dijunjung, budaya terus disanjung
gaya hidup sihat menjadi amalan, pendidikan jadi keutamaan
universiti dan kolej merentas persada teknologi maklumat
semuanya berkat kepimpinan cemerlang pemimpin perkasa!.

Dalam mengangkat gagasan 1 Malaysia
dialah pemimpin milik semua kaum
dalam perjuangan membela bangsa
dialah wira melayu terbilang
dalam kamar dewan persidangan
dia punya suara digeruni lawan
dalam membela nasib rakyat
dia mesra di sisi masyarakat
dalam memartabatkan Dunia Melayu Dunia Islam
dialah pejuang ad-Din di rumpun melayu
dalam memimpin para belia
dialah bapa sanjungan anak muda.

Pagi ini, setelah menekuni memoir sedekad perjuangan
kita terus berada di sampingnya
selagi perjuangan belum selesai,
kita terus berkhidmat dengan jitu
kita ikrar teguh janji
satu visi satu misi
Melaka Maju 2010.
Tahniah Yang Amat Berhormat Datuk Seri !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan