Isnin, 11 Januari 2010

PUISIDRA HANG TUAH MEMBUKA TIRAI TAHUN BARU 2010

Sebagai membuka tirai tahun baru 2010 yang lalu, saya bersama-sama Kumpulan Puisi Persatuan Penulis Melaka ( PENAMA ) yang diketuai oleh Cikgu Awi, Briged Seni Melaka dan JKKN telah diundang membuat persembahan Puisidra sempena Pelancaran Majlis Pelancaran Hang Tuah Jaya di MiTC, pada 1 Januari 2010.

Hampir seminggu berlatih di Rumah Briged Seni, Bukit Peringgit Melaka, akhirnya kami semua berjaya membuat satu persembahan yang cukup menarik untuk tontonan audien pada majlis berkenaan. Majlis tersebut telah dihadiri dan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd.Khalil Yaakub, Yang Di Pertua Negeri Melaka.



DARI SEMANGAT LAKSAMANA HANG TUAH,
KITA BINA HANG TUAH JAYA

Karya : Fairuzan bin Hj. Abdul Majid

Telah kalian titipkan sejarah bangsa dari hikayat
terbina sebuah empayar Kesultanan Melayu Melaka berdaulat.
Telah kalian menyusuri, merempuh sejarah berdarah
lahir seorang pejuang bukti semangat bangsa bermaruah.

Hang Tuah itu pahlawan Melayu terbilang
gagah perkasa tidak melunturkan sopan bicara
Hang Tuah itu bijaksana orangnya
keperwiraannya lambang satria sejati
Hang Tuah lima bersaudara saling bergandingan seia sekata
Taming Sari keris pusaka, sebarang tindak pantang derhaka
bukti unggulnya semangat laksamana, setiap derap memberi makna
setianya pada sultan sanggup berkorban jiwa raga.



Sejarah masa lalu jadi pedoman berguna
Hang Tuah bukti kejayaan bangsa terbilang
pewaris keterbilangan bangsa terpimpin
di zamannya, Melaka muncul pusat niaga
dari laut hingga ke darat
tumpuan pedagang seluruh dunia
bukti jayanya Laksamana Hang Tuah.
Sejarah lama jadikan ingatan dan peringatan
jatuh bangun angkara penjajah
semangat Hang Tuah jadi azimat
lahirlah sebuah tanah air merdeka!

Kini Melaka sudah ternama
rakyat mewah, ekonomi bertambah
jalan raya dinaik taraf, kemudahan rakyat terus diiktiraf
pekan kecil disusun molek, landskap ceria warna menarik
bandar berkembang menjadi besar
pelabur datang singgah berdagang
ditambah juga pelancong bertandang
Bandaraya Warisan Dunia segar bergema
Melaka Maju 2010 jadi agenda
di bawah pimpinan Ketua Menteri budiman
genap sedekad mentadbir negeri
1 Malaysia didokong bersama seluruh rakyat.



Dalam menjayakan visi negeri
muncullah kini Perbandaran Hang Tuah Jaya
terletak di tengah pusat negeri
3 daerah bersatu hati, 3 PBT saling memberi
pembangunan rancak terus dipergiat
dari urusan kerja hingga ke bidang intelektual
dari aspek pentadbiran hingga ke mercu era siber
semuanya menjadi satu, disusun mengikut zon
di sinilah terpacu Zon Pentadbiran, Zon R&D dan Hub Pendidikan,
Zon Enterprise , Zon Perdagangan, Zon Cyber Centre,
Zon Airport City, tidak dilupa Zon Pelancongan
dan juga Zon i-Village dan Tele-Suburb
semuanya dijayakan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Di mana bumi dipijak, langit dijunjung
di situ Hang Tuah Jaya menjadi kebanggaan seluruh isi Melaka
dari semangat Laksamana Hang Tuah, kita bina Hang Tuah Jaya – Bandaraya Pintar!

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan