Isnin, 31 Ogos 2009

MENEKUNI ERTI KEMERDEKAAN DI BAWAH BUMBUNG 1 MALAYSIA



Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Edisi ke-52 tahun ini!

Sambutan Hari Kebangsaan di MiTC Ayer Keroh Melaka pada tahun ini cuma mengambil masa selama 45 minit sahaja selaras dengan saranan pihak Kerajaan Pusat baru-baru ini. Tiada perarakan dan acara meleret seperti sambutan sebelum ini. Memandangkan sambutan ini diadakan pada bulan Ramadhan al mubarak, ia diadakan dengan penuh kesyukuran, sederhana dan cukup bermakna bagi yang menghargai apa itu nilai kemerdekaan yang sebenarnya.



Seperti biasa, aturcara dimulakan dengan alu-aluan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Melaka dan barisan tetamu-tetamu Kehormat, diikuti perarakan Jalur Gemilang dan Nyanyian Lagu Negaraku, Bacaan doa, Lafaz Ikrar pelbagai kaum, persembahan Deklamasi Puisi 1 Malaysia ( oleh saya, Lee Ying Jye dan Kurudevan ), Koir dan Acara Mempertahankan Diri. Itu sahaja.

Inilah dia puisi yang saya tulis khas dan dideklamasikan oleh kami bertiga :


MENEKUNI ERTI KEMERDEKAAN
DI BAWAH BUMBUNG 1 MALAYSIA
FAIRUZAN HAJI ABDUL MAJID

Mari kita tekuni erti dan tafsir kemerdekaan
yang telah berlari di jarum waktu
sejarah bangsa yang telah sejak sekian lama
diungkapkan dalam hayat Malaysia merdeka.

Hari ini kita bangkit dengan derap langkah perkasa
sebagai warga sejati pewaris kecemerlangan mengecap bahagia
hari ini kita tersenyum dengan wajah ceria berbudaya
sebagai generasi hebat penerus kegemilangan rakyat pelbagai warna
disatukan di bawah bumbung 1 Malaysia, abadinya warga.

Di jarum waktu yang pantas berlari
kita mengejar untuk belajar erti mengisi kemerdekaan
dengan tekun kita membuka jendela episod baru – edisi ke 52
rimba belukar sudah berkembang menjadi kota
hasil tanah kini bertukar menjadi laba
anak bangsa telah celik akal minda
para cendekia mampu berdiri di barisan utama
bumi Malaysia, walau kecil tetap gah di peta dunia!



Ingat, pesan lima bapa kita yang terdahulu
yang pernah membawa kita bersama bahtera mengisi erti kemerdekaan
dari ruang nafas kemerdekaan, ditelusuri dengan nafas pembangunan
dari nafas pembangunan disahut dengan perjuangan tali perpaduan
dari tali perpaduan dilakari dengan menara pemodenan
dari menara pemodenan kita diajak membentuk acuan modal insan.



Hari ini adalah pentas membentuk acuan bangsa
di bawah kepimpinan berwibawa dan terhormat
1 Malaysia kini menjadi laung-laungan di setiap penjuru Negara
adalah citarasa bangsa di bumi keramat
dalam tekad memurnikan ikatan perpaduan seluruh rakyat
dengan mendasari isi Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
kerana, di bawah bumbung 1 Malaysia
kita mengecapi nikmat kemerdekaan dengan penuh penerimaan,
penuh sifat kenegaraan dan penuh keadilan.

Betapa, pergeseran dan pertelingkahan
yang memutarbelitkan fakta masa lalu
adalah serangan tajam yang perlu diusir
daripada menjadi wabak
dan terus menjajah minda di era teknologi.

Adakah kita mahu anak generasi hebat
tersungkur rebah dipanah segala tipu muslihat
para petualang dan pengkhianat dari bangsa sendiri ?

Ayuh, anak bangsa pelbagai warna
dan asal turunan di bumi merdeka ini
kita adalah rakyat terhebat mengisi dan meneruskan perjuangan
di bumi berdaulat di bawah bumbungnya 1 Malaysia
kerana kita dan para pemimpin bersama mengisi wadah juang
rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Malaysia tetap di hati!

Kota Laksamana, Melaka
21 Ogos 2009

5 ulasan:

  1. Tahniah pejuang deklamasi.............

    BalasPadam
  2. Wah, bagus puisi u ni. Memang sangat berbakat. Kalau baca seorang mesti hayati habisnya. Bila baca samapai 3 orang, hanyutlahhh.

    BalasPadam
  3. Insya Allah, kalau ada masa dan ruang persembahan di lain masa dan ketika, saya akan baca secara solo puisi tersebut. Cuma pada 31 Ogos lalu, tujuan baca bertiga adalah kerana mengikut kehendak penganjur. Kira ok la, TYT senyum je. hehe.

    BalasPadam
  4. Ikhlas hati, kau mempunyai kekuatan dari aspek vokal dan suara yang bulat. Tambah pula pernafasan kau panjang. Memang suara kau akan membekas. Bila dengar vokal kau, aku teringat pada shbt kita Anwar Jamil (dia dah kerja dgn RTM). Dia punya vokal pun hebat. Aku tabik pada keberanian membawa kelainan, walaupun kita tak menang. Menang, hanyalah nasib dan rezeki semata-mata. Tak hebat pun sebab peserta yg lain semunya hebat-hebat. Cuma nasib sahaja.Tahun depan hang kena rest setahun. Masuk syair la plak.

    BalasPadam
  5. Wah Tuan Radzi, dekat saya tidak mahu beri semangat kentalkah? Hohoho.....Saya lagilah banyak perlu belajar ini. Tidak tahulah bila boleh capai tahap kalian deklamator handalan semuanya.

    BalasPadam