Isnin, 24 Ogos 2009
KISAH SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA 2009 PERINGKAT KEBANGSAAN ( 13-16 OGOS 2009 )
Kenangan di Matic - Terima kasih Saudara Norhisyam wakil WPKL yang sudi memberikan shoot berharga ini pada Saringan malam kedua.
Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 sudah menutup tirai pada 16 Ogos lalu setelah kita menyaksikan Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Abdul Hamid dari Angkatan Tentera Malaysia dengan membawa Puisi Terima Kasih Pengalaman Karya Sholihin Osman yang sudah sembilan kali ke Peringkat Kebangsaan, baru kini mampu 'menjamah' kedudukan tempat dan sekaligus menjuarai Kategori Sajak Terbuka iaitu pertandingan yang cukup bermakna dan 'berprestij' di kalangan para deklamator pada tahun ini. Tempat Kedua dimenangi oleh Suliha Yusof dari Negeri Kedah yang mendeklamasikan puisi Srikandi Merdeka karya Abdul Hadi Yusof dan Ketiga dimenangi oleh orang lama yang 'mengatakan dirinya baru' iaitu Tarmizi Kasim dari Putrajaya dengan Puisi Pahlawan Tanah Merdeka karya Hassan Baseri Budiman. Tahniah juga kepada Chief Inspektor Mohd. Mahat wakil PDRM yang berjaya masuk ke Peringkat Akhir walaupun tewas dengan puisi Di Bawah Bumbung Langitmu karya Jariah Hj. Taha.
Bercerita sedikit mengenai Juara baru tahun ini iaitu Lefetenan Kol. Mohd. Radzi, saya amat bertuah pada hari pertama berada di Kuala Lumpur sudah pun lepak di Restoran Mamak di Bukit Bintang bersama Tuan Radzi ni. Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana belanja makan roti canai dan air teh tarik. Tahun lepas pun beliau pernah belanja saya makan dan menolak hasrat saya untuk belanja beliau. Alahmadulillah, rezeki beliau murah kerana berjaya merangkul juara dalam SDPM tahun ini. Saya dengan deklamator lain cuma panggil nama sahaja tetapi memandangkan beliau ni berpangkat dalam tentera, jadi sebagai rasa hormat, saya penggil beliau Tuan. Saya mula kenal beliau ni sejak tahun 2002 lagi semasa kami 'berperang' dalam SDPM di Kangar Perlis. Masa itu saya mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beliau mewakili Angkatan Tentera Malaysia. Rasa-rasa saya masa itu beliau masih berpangkat Mejar dan sudah masuk 4 kali ke Kebangsaan manakala saya ketika itu baru pertama kali yang akhirnya pada tahun berkenaan saya telah menewaskan beliau dengan meraih Tempat Ketiga Kebangsaan. Inilah rencah dalam Sayembara Deklamasi Puisi, tahun ni kita di atas, mungkin tahun-tahun mendatang kita di bawah pula. Tapi, beliau adalah seorang yang baik hati selain mempunyai disiplin yang tinggi sebab itulah, kami peserta ketika itu melantik beliau dengan sebulat suara menjadi penghulu kami. Suasana Sayembara pada tahun 2002 memang agak berbeza jika dibandingkan dengan Sayembara pada masa kini. Kami 18 orang peserta semua berada dalam satu 'kapal'. Pergi minum sama-sama. Pergi lepak pun sama-sama. Tak macam hari ini, peserta kurang mempunyai semangat persaudaraan yang tinggi. Malangnya ada peserta Syair tak kenal peserta Sajak. Dan lebih malang lagi, peserta sajak tak kenal seteru mereka sendiri.
Tahun lepas, cuma saya dan beliau yang berjaya menampilkan kelainan dalam SDPM 2008 di Dewan DBKL. Malangnya, dua-dua kecundang pada tahun lepas. Persembahan Tuan Radzi pada malam Akhir di Angkasapuri amat berbeza berbanding pada malam Saringan di Matic. Pada saya, saya lebih mengangkat Tuan Mat dari PDRM sebagai yang terbaik di Peringkat Saringan dan mengandaikan beliau akan meneruskan kemampuan untuk memberikan persembahan yang terbaik berbanding peserta lain. Tetapi, apabila saya dan isteri menyaksikan persembahan Tuan Radzi pada malam Akhir, saya merasakan ini mungkin satu kejutan jika Radzi juara kerana persembahan beliau yang tenang dengan gaya beliau sendiri ditambah lagi dengan gaya yang cukup ringkas dan bermakna. Terutama pada patah kata ' lihatlah di belakang dirimu...' tangan beliau diarahkan ke hadapan bukannya ke belakang. Seolah-olah beliau adalah penyaksi kelakuan kita. Memang tepat sekali gaya dan bahasa tubuh yang dipersembahkan!
Kali ini saya telah gagal untuk mara ke Peringkat Akhir Sayembara yang diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri setelah keputusan Panel Juri di Peringkat Saringan di Matic tidak memihak kepada saya dan 16 peserta Kategori Sajak Terbuka yang lain.
Sudah ditakdirkan tewas hendak buat macam mana lagi. Sudah rezeki untuk dapat saguhati sahaja. Memang Puisi Mengenangmu Pejuang karya Sahrunizam Abdul Talib yang saya deklamasikan pada malam pertandingan saringan kedua mungkin tidak mencapai 'KPI' dan ' selera ' panel juri. Saya sendiri merasakan saya tidak berasa puas atau 'kurang umph...' mendeklamasikan puisi tersebut berbanding masa raptai dan beberapa persembahan yang saya buat melalui puisi yang sama ketika beberapa acara baca puisi di Melaka.
Dalam blog ini saya tidak mahu bercerita mengenai panjang lebar mengenai 2 Kategori lain yang dipertandingkan iaitu Syair dan Sajak SMJK. Cuma sekadar mengucapkan tahniah kepada Saudara Faizal Jamil dari Sarawak yang telah berjaya menjadi Johan Kategori Syair hasil pembawaan Irama Syair Sarawak yang cukup mengasyikkan semasa beliau menyampaikan Syair Dandan Setia dan tahniah juga kepada Saudara Joel Ting Shi Xian dari Johor yang berjaya meraih juara dalam Kategori Sajak SMJK.
Banyak benda yang hendak dikongsi selama hampir seminggu berada di Kuala Lumpur dalam SDPM 2009. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara terutamanya kepada Cik Normizanum yang menyelenggara penginapan para peserta SDPM 2009 dengan cukup baik dan selesa kerana kami ditempatkan di Hotel Radius International, di Bukit Bintang KL dan segala prasarana pertandingan seperti tempat di MATIC dan Angkasapauri baik dari segi makan minum dan juga pengangkutan ( walaupun saya dan sahabat saya Fazreen peserta Negeri Sembilan pernah berjalan kaki dari Matic pulang ke Hotel kerana ketinggalan bas selepas Saringan hari pertama ).
Ramai sahabat handai mengatakan persembahan saya baik dan tidak ada patah-patah kata yang tertinggal cuma ada sedikit kelemahan dari segi teknik persembahan iaitu chorus saya kurang jelas kerana berganjak setapak ke belakang pada bait tertentu dalam puisi yang saya deklamasikan kerana saya memikirkan bahagian tersebut saya perlu melontarkan suara. Dalam ilmu muzik sekalipun, jika seseorang artis ingin melontarkan vokalnya, kedudukan mulut perlu dijauhkan sedikit dari mikrofon bukan didekatkan. Apabila sampai ke bahagian nada dan intonasi rendah, maka ia perlu dirapatkan barang sejengkal. Puzi Hadi juara pertama Sayembara Deklamasi Puisi tahun 1987 pun menggunakan teknik berganjak setapak ke belakang untuk nada tinggi dan berganjak semula ke depan untuk nada rendah. Tetapi, apa yang saya praktikkan pada malam itu bukan bererti meniru gaya Puzi Hadi tetapi ia adalah teknik dalam pengendalian alat pembesar suara.
Kebebasan memegang, mengendalikan penggunaan mikrofon yang dibenarkan oleh 'Stage Manager' mulai tahun ini ada baik dan tidak baiknya. Saya menghadapi kesukaran untuk meng' adjust ' mikrofon saya kerana peserta sebelum giliran saya ialah Saudara Tarmizi Kasim dari Putrajaya ( tinggi lampai orangnya ). Tentunya, beliau sudah menguruskan awal-awal lagi ketinggian mikrofon mengikut ketinggiannya. Apabila sampai giliran saya, terkial-kial saya membetulkan laras 'stand mic' saya. Ada yang perasan kelakuan saya atas pentas mengatakan hampir 3 kali saya membetulkan mikrofon hingga menjejaskan 'mood' dan roh puisi sebelum memulakan penyebutan judul puisi dan penulisnya. Saya rasa bait pertama saya tidak mencapai 'KPI' yang saya harapkan. Namun, saya bangkit bermula bait kedua dan seterusnya. Bait ketiga pun ada masalah katanya, kerana eksperimentasi melangkah setapak ke belakang untuk nada tinggi kurang menyengat disebabkan kedudukan 'stand mic' yang terlalu tinggi. Takkan saya nak membongkok sambil memusing-musingkan pelaras ' stand mic ' dan sekadar saya berpuas hati pada malam tersebut hanya dengan menarik ke bawah sedikit 'stand mic' yang diberikan. Tak percaya lihat seperti di gambar.
Satu perkara lagi yang saya nak perkatakan di sini ialah insan yang tidak bertanding di Kebangsaan tetapi menjadi parasit kepada beberapa orang peserta. Mudah sahaja untuk saya rumuskan di sini, beliau jenis insan yang seperti ibaratnya ' melambung-lambungkan sesuatu objek hingga ke puncak tertinggi dan kemudian meruntuhkan ia dengan sedalam-dalamnya.'
Hari terakhir sebelum pulang ke Melaka, saya bawa isteri saya jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur terutanya di KLCC.
Nampaknya tahun depan saya terpaksa rehat seketika kerana sudah tiga tahun berturut-turut saya menjadi Juara Negeri. Mungkin rezeki tahun 2011 akan muncul Akumurba yang bangkit dengan gaya dan teknik terbaru.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Laa,u kena tinggal bas ke?Dramatik sungguh...hehe!
BalasPadamKelainan yg dibuat dlm persembahan ni memang bagus. Tapi format pertandingan sedikit kelam kabut dan sesak.
Parasit?Tahun depan kalau dia tumbuh lagi, sembur je dengan racun rumpai. Tak sedar diri malah lebih teruk dari peserta yg tak kenal hakim atau peserta lain. Ramai dah blacklist parasit tu!
salam..
BalasPadamkesian jugak kat parasit tu..
kehulu dan kehilir membawa harapan yang tak sudah sudah
kenkadang kesian bile lihat ada yang masih tak tahu bahasa.. dan mengganggu orang lain..
bak kata orang..
kalau tak mampu nak memberi kesenangan kepada orang lain.. jangan menyusahkan dia..
untuk aku murba..
saya banyak belajar dari saudara..
cara dan teknik
belajar dari yang berpengalaman adalah seperti kita berguru sepanjang mana ilmu itu diperolehi dengan orang yang berpengalaman itu.
kita jumpa tahun 2011 yer..
2010 saya akan juangkan semangat untuk mengekalkan kejuaraan.. SDPM WKL 2010
Selamat berjuang dan meniti kesabaran dalam arena Sayembara ni...
BalasPadamSalam,
BalasPadamItulah namanya pengalaman...
"Terima Kasih Pengalaman"...
Terus berjuang..sebab menang tu beerti bersara...
ok jugalah kalau kalah, tahun2 depan ada peluang bertanding lagi..ok.
Shbtku, saya sangat setuju dengan sedara berkaitan beberapa perkara pengurusan. Biasalah ada yang ok dan ada yang tak ok. Bab kategori syair dan SJMK tu, saya pun maleh nak ulas tapi syair sarawak tu memang sedap youuu. U antara peserta yang disegani kerana kualiti suara yang sangat bagus. Saya cemburu pada vokal anda. Kelainan? yeahhh tahun lepas hanya kita berdua sahaja yang berani buat kelainan, tapi hampehhh.
BalasPadamApapun u masa raptai adalah antara yang digeruni tetapi bila malam saringan tu, saya tgk mood u lari sikit, penghayatan pun ada ketikanya hilang. Tahniah kerana untuk berjaya ketahap itu sahajapun sudah BESAR ertinya. Datang KL tepon leee.
Terima kasih pengalaman walauapapun jua amat berharga....Tuan Fairuzan terima kasih atas tunjuk ajar dan perkongsian ilmu deklamasi.
BalasPadamaku murba.. datanglah beraya di KL>.
BalasPadamselain jumpa pena celoreng dan d'rimba
jangan lupa call saya yer..
heheheh
salam
Insya Allah...saya bercadang nak buat satu blog untuk persatuan deklamator-deklamator. Mungkin kita boleh bergabung bersama. Ini boleh memantapkan dunia kepenyairan tempatan khasnya dunia deklamasi puisi yang semakin diminati dan mendapat publisiti.
BalasPadamINSAN SEDIH :
BalasPadamSalam saudara Akumurba, nama saya Mohd Fauzi, adakah saudara mempunyai koleksi buku jamung merdeka? 0127795109