Ahad, 28 Jun 2009

"Raja Psiko" Kembali Wakili Perak



Alhamdulillah, sudah hampir separuh negeri-negeri berjaya menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka ( SDPM 2009 ) sekitar bulan Jun yang penuh mencabar ini.

Melaka masih lagi dalam musim debaran kerana pertandingan akhir telah dianjakkan dari 28 Jun kepada 18 Julai 2009 yang akan diadakan di Taman Budaya Ayer Melaka. Yang mana kali ini, saya akan membuat satu anjakan paradigma untuk bertanding dalam 2 kategori iaitu selaku juara menanti kategori puisi dan bertanding untuk kategori Syair Merdeka. Saya bakal mempersembahkan bacaan Syair Bidasari dalam irama Narasi.

Tetapi sebelum itu, sebagai makluman sahabat dan teman seperjuangan semua, makluman terkini yang saya perolehi daripada "wartawan-wartawan aktivis puisi" seperti Saudara Mohd Mahat dari PDRM, Amran, Gusdur dan Awang Asim dari Labuan yang kini sibuk menjadi juri di belah Sabah dan Labuan memaklumkan bahawa Tahun ini pentas SDPM 2009 akan bergegar dengan kemunculan kembali Raja Psiko dari Perak iaitu Saudara Azmi Ismail. Senang dan mudah didampingi orangnya kerana sikap beliau yang suka menyakat tetapi beliau seorang yang baik hati kerana telah membimbing saya pada SDPM Peringkat Kebangsaan tahun 2007 melalui Puisi Taman Merdeka.

Sesungguhnya, SDPM 2009 pada kali ini tidak kurang hebatnya kerana bukan semata-mata kredibiti juara setiap negeri itu sendiri tetapi ia masih mengekalkan peserta-peserta lama yang akrab seperti Saudara Gusdur ( Shamsul Wahab ) dari Johor, Suliha dari Kedah dan Pamela yang masuk tiga kali berturut-turut mewakili WP Labuan...begitu juga bakat baru yang baru naik seperti Atikah Desa dari Langkawi.

Saudara Amran juga memaklumkan bahawa kali ini Terengganu akan diwakili oleh 'orang baru' iaitu saudari Mastura.

Sehingga kini ada beberapa negeri yang akan melahirkan sama ada johan lama atau johan baru pada Julai ini. Antaranya WP KL 4 Julai, PDRM 17 Julai dan Melaka pada 18 Julai ini.

Sama-sama kita saksikan.

Dan pastinya tahun ini nantikan kemunculan saya di Taman Budaya Melaka dengan puisi hafalan terbaru saya iaitu TUN PERAK dan kategori Syair ialah SYAIR BIDASARI !

Isnin, 15 Jun 2009

Tahniah 'Gusdur' , Terima Kasih Raihani!

SDPBM 2009 Peringkat Negeri Johor telah pun berlalu...walaupun saya tidak menonton dengan lebih dekat pertandingan yang diadakan di Plaza Kotaraya JB pada 13 Jun 2009 (Sabtu) yang lepas, kerana saya ada program, saya telah mendapat maklumat bahawa Keputusan SDPBM 2009 Peringkat Negeri Johor dijuarai oleh Juara Menanti iaitu Saudara Shamsul Wahab atau dikenali sebagai 'Gusdur' ( gelaran yang diberikan oleh rakan-rakan lama dalam Sayembara ). Tempat Kedua oleh Sharin Haron yang juga sahabat saya yang baru berpindah dari Perak. Ketiga, saya tidak kenal.Tapi, wanita katanya.

Gusdur menjuarai pertandingan tersebut dengan mendeklamasikan puisi Ayahku, Seorang Penjual Roti dengan begitu baik penghayatan dan karektor pada bahagian Tunku Abdul Rahman. Manakala Sharin pula dengan puisi lamanya Gemuruh Langit Kita yang diberi nafas baru katanya.

Dalam pada itu juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih berbanyak kepada Raihani (kawan karib yang sentiasa setia) kerana telah memposkan CD Koleksi Syair Hasil Karya bondanya iaitu Dr. Zurinah Hassan untuk saya manfaatkan sebagai ilmu sepanjang hayat...

Rabu, 3 Jun 2009

SALAM SEJAHTERA ...SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA 2009 (SDPM2009)

Sudah hampir sebulan saya tidak menulis entry ini...hari ini sudah tiba masanya untuk saya mengulangi dan memperkatakan tentang 'bara' SDPM2009 yang nampaknya akan bermula pada Bulan Jun ini untuk semua negeri-negeri di Malaysia termasuk IPT, PDRM dan ATM.

Kelantan sudah pun selesai penganjurannya pada Mei lalu. Tahniah kepada Siti Nur Zafran Zainal Abdin yang telah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut. Moga-moga kita dapat berentap di Kebangsaan Julai ini. Insya Allah.

Semalam, saya menjadi orang yang pertama mendaftar diri untuk SDPM2009 di Taman Budaya Negeri Melaka ( walaupun selaku Johan Menanti ). Kali ini, Pegawai Kebudayaan yang mengurusetia SDPM 2009 Peringkat Negeri Melaka ialah Encik Zainal Jaslan, Timbalan Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka. Katanya juga, para juri kali ini adalah terdiri dari golongan 'muda'... bukan lagi menampilkan aktivis sastera veteran dengan harapan para juri baru kali ini dapat memberikan pandangan yang baru dan tidak bersifat berat sebelah.

Yang penting, sebagai peserta buatlah yang terbaik untuk menarik perhatian juri 'baru' dalam SDPM 2009 nanti.

Khamis, 7 Mei 2009

JURUACARA MAJLIS SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2009

SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2009

Jemput datang beramai-ramai ke Sambutan Hari Belia Negara 2009 pada 15 Mei 2009, jam 7.30 malam, bertempat di MiTC Ayer Keroh Melaka.

Saya dan teman setugas Norazlyn Mohd. Norizan akan menjadi juruacara rasmi Majlis Perasmian tersebut yang akan dihadiri dan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Selain YAB Ketua Menteri Melaka dan YB Menteri Belia dan Sukan serta para tetamu kenamaan dijangka hadir bagi memeriahkan majlis pada malam tersebut.

Yang pastinya, semua persatuan dan gabungan belia seluruh Negara akan berkampung di Negeri Melaka Bandaraya Warisan Dunia pada hari tersebut. Dianggarkan 10,000 belia akan memenuhi Dewan MiTC Ayer Keroh Melaka untuk mendengar Amanat YAB Perdana Menteri. Selain itu, acara selingan sebelum ketibaan YAB Perdana Menteri akan diserikan dengan persembahan artis-artis tempatan tanah air yang diundang khas serta persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka.

Sekali lagi terima kasih kepada Pengarah dan para kakitangan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Penerangan Melaka yang telah mencalonkan saya dan Norazlyn sebagai juruacara majlis pada malam tersebut.

Kepada semua kenalan dan sahabat handai dipersilakan hadir.

Isnin, 4 Mei 2009

ANJAKAN PARADIGMA : SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA




SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI MERDEKA PERLUKAN ANJAKAN PARADIGMA

Rasanya sudah hampir 22 tahun Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka SDPM yang mula diperkenalkan oleh GAPENA sejak tahun 1987 lagi. Kemudian bergabung dengan pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan baik bersama Jabatan Penerangan, Penyiaran, Pelajaran dan kini Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara untuk bersama-sama mengendalikan Pertandingan Deklamasi Puisi yang sememangnya cukup berprestij jika dibandingkan dengan pertandingan-pertandingan anjuran mana-mana pihak lain yang pastinya SDPM lebih gah dan matang pengisiannya. Apa yang pasti, melalui SDPM inilah telah melahirkan tokoh-tokoh deklamator berkaliber baik yang terkenal mahu pun suram.

Saya sendiri yang hampir 12 tahun telah menyertai SDPM ini, melihat banyak sudut yang perlu diberi transformasi yang sudah tentunya perubahan perlu diberi penekanan bermula di peringkat saringan lagi hinggalah ke kemuncaknya iaitu di Peringkat Kebangsaan. Berikut adalah komen dan cadangan untuk mengangkat SDPM pada tahun ini dan akan datang agar lebih gah :

1. Teks Antologi Deklamasi Puisi perlu ditukar setiap lima tahun sekali. ( Harap-harap pada tahun 2010, teks baru sudah diperkenalkan. Insya Allah ).

2. Tarikh pertandingan perlu serentak di setiap negeri bagi mengelakkan kes 'lompat katak' untuk peserta yang telah memenangi tempat di sesebuah negeri untuk bertanding di negeri berikutnya.

3. Hadiah wang tunai baik untuk pemenang mahu pun saguhati perlu diseragamkan di setiap Negeri.

4. Wujudkan Piala Pusingan untuk Johan SDPM. Ada sesetengah negeri tidak mengamalkan pemberian Piala Pusingan.

5. Wajibkan semua peserta di Peringkat Negeri mengikuti Bengkel Teknik Pemantapan Deklamasi Puisi sebelum bertanding. Ini penting kerana, corak deklamasi puisi terkini sudah berada di ambang transformasi dan kita tidak inginkan corak deklamator yang sudah 'klise'. Sebagai contoh, Angkatan Tentera Malaysia menganjurkan bengkel kepada semua peserta SDPM pada tahun lepas.

6. Tempoh pertandingan di Peringkat Akhir Kebangsaan adalah selama 2 malam berturut-turut. Justeru, asingkan persembahan kategori bumiputera dan kategori bukan bumiputera. Kalau boleh awalkan persembahan untuk ketegori bumiputera untuk malam pertama, manakala malam akhir untuk kategori bukan bumiputera.

7. Malang pada tahun lalu, tiada ulasan hakim selepas pertandingan. Sepatutnya, ulasan hakim perlu dikekalkan sejurus selepas berakhirnya pertandingan dan sebelum keputusan diumumkan bagi panduan para peserta menilai kelemahan-kelemahan masing-masing.

8. Wujudkan siaran langsung atau pun rakaman SDPM untuk disiarkan di RTM 1 sebagai tontonan umum bagi menyemarakkan dunia deklamasi puisi seperti tahun-tahun 90 an.

9. Wujudkan kebebasan bergerak para peserta semasa mendeklamasikan puisi.


Walau bagaimanapun, tahniah kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana ada beberapa hal yang perlu diteruskan. Antaranya :

1. Pemberian wang saguhati bernilai RM 1000.00 kepada semua peserta Peringkat Kebangsaan yang tewas perlu dikekalkan. Ini adalah 'terapi emosi' kepada peserta yang tewas agar tidak berasa kecewa apabila pulang ke destinasi masing-masing.


SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI BULAN MERDEKA (SDPBM) 2009 DIAWALKAN ?


Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka 2009 (SDPBM)

Tahun ini menyaksikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama GAPENA mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka 2009 lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Malam tadi, dalam Buletin Utama TV3 sudah dimaklumkan bahawa Program-Program Sambutan Sempena Bulan Kemerdekaan Tahun 2009 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dianjak ke satu tarikh yang lebih awal bagi menghormati Bulan Ramadhan yang akan tiba pada Ogos 2009 ini.

Saya tidak terkejut apabila dimaklumkan bahawa Kemuncak SDPBM 2009 akan diadakan di Ipoh pada 13-15 Jun 2009 kerana saya sudah menjangkakan hal ini akan berlaku sejak dari tahun lepas lagi apabila urusetia di Peringkat Kebangsaan telah memaklumkan hal ini kepada peserta-peserta yang bertanding di Peringkat Kebangsaan dalam SDPBM 2008 di Hotel Midah Kuala Lumpur.

Setibanya saya di pejabat pagi tadi, saya terus menghubungi Pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka untuk bertanyakan hal berkenaan. Mereka memaklumkan bahawa SDPBM 2009 Peringkat Negeri Melaka dijangka akan berlangsung dalam Bulan Mei ini juga. Mereka akan mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara ini dalam jangka masa terdekat dan seterusnya akan memaklumkan tarikh pertandingan melalui surat dan juga hebahan melalui Melaka fm.

Yang pasti, tahun ini saya akan terus bertanding pada tahun ini bagi mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut ( tahun 2008 dan 2009 ) melalui Puisi XXX XXXX karya XXXXXXX XXXXXXX dalam Antologi Jamung Merdeka yang baru saya hafal pada tahun ini sebagai persiapan perjuangan. Yang pasti juga saya layak untuk bertanding lagi kerana belum tiga tahun berturut-turut menjadi juara. Kalau juara juga pada tahun ini, maksudnya tahun depan saya akan berehat seketika daripada bertanding.

Untuk makluman semua rakan-rakan otai SDPBM, pastikan kalian bertanding dan menerima info terkini dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri masing-masing, ya!

PERTANDINGAN PENGKISAHAN KENEGARAAN 2009

BERMINAT SERTAI PERTANDINGAN PENGKISAHAN KENEGARAAN ?

Saya merupakan salah seorang urusetia Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan ingin mempelawa anda semua yang berminat untuk menyertai Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan bagi tahun 2009 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka.

Untuk makluman semua, pertandingan ini akan berlangsung pada 20 Mei 2009 (Saringan) dan 30 Mei 2009 (Akhir), yang akan diadakan di Panggung Seri Taman Budaya Negeri Melaka, yang mana saya sendiri akan menjadi salah seorang juruacara pertandingan pada hari tersebut.

Hadiah?
Hadiah memang lumayan...Johan (RM2,000), piala pusingan, sijil & hadiah iringan; Naib Johan (RM1500), sijil & hadiah iringan dan 3 hadiah saguhati (RM1000), sijil dan hadiah iringan.

Syarat-Syarat Penyertaan:
1. Umur mesti antara 18-45 tahun.
2. Mana-mana peserta yang pernah menjadi johan negeri atau mewakili negeri ke Peringkat Kebangsaan dalam aktivti yang berbentuk Pidato, Kuiz, Pengkisahan dan Debat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia tidak dibenarkan bertanding.
3. Peserta mestilah menubuhkan satu kumpulan yang terdiri daripada 2 hingga 3 orang ahli dan kredit bagi yang melibatkan pelbagai kaum.


Kaedah Penyampaian Pengkisahan :
1. Pemilihan tema dan tajuk mestilah berlatar belakangkan kepada peristiwa, tokoh-tokoh kenegaraan atau pun sejarah tanah air dengan menyediakan nota pengkisahan melalui kriteria seperti ketepatan fakta, maklumat dan mesej kenegaraan dan susunan peristiwa.
2. Pengkisahan boleh dipersembahkan dalam pelbagai kombinasi cerita sketsa, pantun, nazam, syair atau pun gurindam.
3. Setiap kumpulan mestilah berkisah dalam masa 15 minit.
4. Alat bantu seperti lap top, alat pandang dengar dan props boleh dibawa ke pentas tetapi urusan pengendaliannya harus dilakukan oleh peserta sendiri.

sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di talian 0193090479 sebelum 15 Mei 2009