Isnin, 20 September 2010

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI BULAN KEMERDEKAAN 2010 HAK GAPENA

Ibarat sirih pulang ke gagang. Begitulah diibaratkan kepada GAPENA yang pada tahun ini walau pun sudah agak menghampiri penghujung kalendar, telah berjaya 'menyelamatkan' kembali penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan (SDPBK) yang tidak lagi dikelolakan oleh JKKN induk atas sebab-sebab tertentu.

Tahniah kepada warga kerabat GAPENA dan juga rakan-rakan deklamator 'otai' yang masih belum puas berjuang dalam dunia deklamasi puisi serta tidak dilupakan juga kepada bakat-bakat baru dalam dunia deklamasi yang sama-sama mendesak melalui media bagi memperjuangkan SDPBK agar dapat diteruskan tanpa 'gagal' saban tahun sejak ia diperkenalkan oleh GAPENA sendiri sejak tahun 1987 lagi.

Tanggal 25 September 2010 ini, akan bermulalah debaran SDPBK 2010 yang dianjurkan atas kemampuan yang sedia ada dan seadanya oleh GAPENA sendiri bertempat di GAPENA.

Tahun ini seperti biasa, penyertaan terbuka kepada semua Warganegara Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas . Manakala juara-juara SDPBK Peringkat Kebangsaan (1987-2009) tidak dibenarkan bertanding.

Uniknya, pada kali ini pertandingan diadakan secara berpusat. Tiada lagi pertandingan yang dijalankan di Peringkat Negeri, Peringkat IPTA, PDRM mahu pun ATM. Secara tidak langsung tiada lagi 'cuti rehat' setahun kepada juara tiga kali berturut-turut untuk tidak layak bertanding. Hanya 'satu gelanggang, satu pertarungan' yang menentukan.

Pertandingan akan diadakan secara Peringkat Saringan dan Separuh Akhir pada 25 September 2010 (Sabtu). Manakala, Peringkat Akhir akan diadakan pada 2 Oktober 2010 (Sabtu).

Dari segi teks Puisi pula, pihak penganjur telah merombak 'tradisi' yang lepas-lepas dengan menyediakan 21 buah puisi 'favourite' dan terbaik yang dicedok dari beberapa antologi puisi terbitan GAPENA sebelum ini seperti Maruah Merdeka, Di Atas Mimbar Merdeka, Mutiara Pertiwi, Rumah Merdeka, Aksara Merdeka dan Jamung Merdeka.

Teknik penghakiman tetap sama seperti dulu.

Bercakap mengenai hadiah, Johan hadiahnya berupa piala pusingan Tun Ghafar Baba, wang tunai RM 3000.00, hadiah iringan dan sijil.

Naib Johan hadiahnya berupa wang tunai RM 2000.00, hadiah iringan dan sijil.

Ketiga pula akan membawa pulang wang tunai RM 1000.00, hadiah iringan dan sijil.

Manakala, saguhati di peringkat akhir ialah wang tunai RM 300.00, hadiah iringan dan sijil.

Kepada sahabat-sahabat semua, saya bersama-sama berentap pada Sabtu ini dengan puisi pilihan saya 'Pidato Umum di Dataran Merdeka' nukilan Nassury Ibrahim. Terima kasih juga kepada Encik Nassury yang sudi memberi tunjuk ajar kepada saya puisi nukilan isi hati beliau walaupun berguru secara elektronik dan maya.

Apa yang penting dalam SDPBM 2010 ini, kemenangan bukan pokoknya, Sayembara bukan sekadar pertandingan, tetapi rumpun deklamator masih akrab dan punya semangat tersendiri dari lubuk nurani kami yang masih setia dan menghargai SDPBK!

Ayuh GAPENA. Mula!

1 ulasan:

  1. Tahniah saudara Aku Murba.. Nanti kita makan Sup Meletop lagi yer..

    BalasPadam