Rabu, 18 November 2009

MENYUSURIMU, SUNGAI MELAKA : 'VENICE OF THE EAST'



Dalam entry kali ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin sudah terlewat untuk dimajukan ke dalam blog Akumurba kerana saya masih menyimpan sebuah puisi yang telah saya deklamasikan semasa diundang untuk membuat persembahan simbolik bagi Majlis Perasmian Pesta Sungai dan Pantai 2009 Peringkat Negeri Melaka pada 30 Mei yang lalu dan telah berlangsung di Muara Sungai Melaka.






Sebuah puisi ilham saya sendiri mengenai Sungai Melaka serta menyatakan usaha-usaha yang telah digembleng oleh Kerajaan Negeri bagi memajukan Sungai Melaka sehingga menjadi ikon terkini pelancongan di Bandaraya Warisan Dunia ini dan telah pun dipersembahkan dengan jayanya bersama dekorasi tari Artis Briged Seni Melaka di bawah pimpinan Mr. Juan dan Puan Sermaini Pien, Pengurus Briged Seni Melaka yang juga mantan Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Melaka.

MENYUSURIMU, SUNGAI MELAKA : ‘VENICE OF THE EAST’
FAIRUZAN HAJI ABDUL MAJID

Kami menyusuri Sungai Melaka,
sungai bersejarah nilai berharga buat kami
Zaman Kesultanan Melayu Melaka sudah berabad-abad berlalu
meninggalkan warisan sejarah tamadun bangsa
hingga terkenal di peta dunia
di muaranya segalanya bermula
asalnya ia dibangunkan kampung, kota dan juga istana
makmurnya ia memikat orang datang berdagang
sentosanya ia menjadi laluan kapal-kapal datang berlabuh
di kiri kanan menjadi medan menjaja dagangan
di sinilah jua menjadi saksi penjajah datang dan pergi.

Setelah berabad meninggalkan kamus sejarah
arusnya tetap mengalir tenang dan damai
panorama unik menjadi destinasi para pelancong
ia tetap kental menyimpan kesan runtuhan Kota Melaka,
kubu lama peninggalan Portugis,
bangunan merah binaan Belanda
menjadi warisan kenangan di sinilah segalanya bermula
jatuh bangun bangsa Malaysia.

Di saat menyusurimu Sungai Melaka
alangkah damainya jiwa menikmati panorama di kala senja
sambil singah ke Kampung Morten perkampungan tradisi
Rumah Melaka cantik dan molek
tersergam indah menggamit suasana
masyarakatnya sepakat dan ramah
memikat jiwa untuk singgah berkali-kali.

Betapa masyhur dan makmurnya Sungai Melaka
terkenal ia sejak zaman berzaman
pengunjung datang tak mengira musim dan tahun
baik tempatan mahu pun luar
cuti minggu dan cuti umum
Sungai Melaka tetap meriah
Dari Taman Rempah hingga ke muara
bot datang bergilir-gilir
mengangkut pengunjung tak sudah-sudah
irama dondang-sayang menjadi hiburan
mendamba jiwa di kala duka.
Di tebing Sungai Melaka
telah terbina kota niaga dan pelabuhan moden
juga tersergam Menara Taming Sari dan juga Eye On Malaysia
Sungai Melaka terus diperindah,
landskap menarik diurus cantik
kebersihan sungai dijaga elok
dari hulu hingga ke muara
saban tahun kita berpesta
di Sungai Melaka memeriahkan acara
merapatkan perpaduan berbilang bangsa
tidak mengira darjat dan budaya
Satu Malaysia terjalin ikatan
kemakmuran dan kemegahan saling dirasai
menerajui konsep gagasan Perdana Menteri.

Kini, Sungai Melaka tersohor hebat
Warisan Dunia menjadi kebanggaan
air sungainya terus mengalir tenang
mengabdikan citra warisan berzaman
sumber airnya melimpah ruah
menjadi inspirasi pelbagai sumber
pelancongan, perikanan dan juga tenaga industri.

Tidak dilupa Sungai-Sungai di Melaka
baik sungai ternama mahu pun tidak ternama
Sungai Linggi dan Sungai Kesang menjadi pemisah dua negeri
begitu juga Sungai Lendu di Alor Gajah dan Sungai Ulu Jasin
air dan alurnya tetap berjasa buat kami.

Terima kasih kepada kepimpinan
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka
jasamu besar dalam menjaga warisan Sungai Melaka;
gahlah namamu Sungai Melaka :‘Venice of The East’
kebanggaan kami Rakyat Melaka bertuah ini!


19 Mei 2009



Tiada ulasan:

Catat Ulasan