Khamis, 21 Januari 2010

TERIMA KASIH MOHD. FAIZAL JAMIL - JUARA SYAIR SDPM 2009

Malam ini akan diadakan Majlis Anugerah Sasterawan Negeri Melaka bertempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Pada malam ini juga saya sekali lagi bersama-sama penggiat seni dan budaya Negeri Melaka yang diketuai oleh Cikgu Mohamad Musip, Munsyi Dewan dan Pensyarah Institut Pendidikan Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPKPMM), pelajar-pelajar IPKPMM dibarisi oleh Siti Nurizwani Jasni, Nur Dalila dan Saidatul Nadirah dan Norliza Md. Yamin, Guru SK Serkam akan bergabung suara untuk persembahan Syair Anugerah.

Istimewanya, persembahan syair ini adalah variasi pelbagai lagu syair seperti Selendang Delima, Narasi dan Syair Sarawak selain mengangkat martabat syair di pentas persembahan seni dan budaya Negeri Melaka.

Terima kasih kepada Saudara Faizal Jamil sahabatku dari Sarawak yang juga bekas Juara Syair Kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 kerana sudi merekodkan alunan Syair Sarawak kepada saya baru-baru ini. Semoga hasil tunjuk ajar dan sumbangan saudara diberkati oleh Allah S.W.T.

Isnin, 11 Januari 2010

PUISIDRA HANG TUAH MEMBUKA TIRAI TAHUN BARU 2010

Sebagai membuka tirai tahun baru 2010 yang lalu, saya bersama-sama Kumpulan Puisi Persatuan Penulis Melaka ( PENAMA ) yang diketuai oleh Cikgu Awi, Briged Seni Melaka dan JKKN telah diundang membuat persembahan Puisidra sempena Pelancaran Majlis Pelancaran Hang Tuah Jaya di MiTC, pada 1 Januari 2010.

Hampir seminggu berlatih di Rumah Briged Seni, Bukit Peringgit Melaka, akhirnya kami semua berjaya membuat satu persembahan yang cukup menarik untuk tontonan audien pada majlis berkenaan. Majlis tersebut telah dihadiri dan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd.Khalil Yaakub, Yang Di Pertua Negeri Melaka.



DARI SEMANGAT LAKSAMANA HANG TUAH,
KITA BINA HANG TUAH JAYA

Karya : Fairuzan bin Hj. Abdul Majid

Telah kalian titipkan sejarah bangsa dari hikayat
terbina sebuah empayar Kesultanan Melayu Melaka berdaulat.
Telah kalian menyusuri, merempuh sejarah berdarah
lahir seorang pejuang bukti semangat bangsa bermaruah.

Hang Tuah itu pahlawan Melayu terbilang
gagah perkasa tidak melunturkan sopan bicara
Hang Tuah itu bijaksana orangnya
keperwiraannya lambang satria sejati
Hang Tuah lima bersaudara saling bergandingan seia sekata
Taming Sari keris pusaka, sebarang tindak pantang derhaka
bukti unggulnya semangat laksamana, setiap derap memberi makna
setianya pada sultan sanggup berkorban jiwa raga.



Sejarah masa lalu jadi pedoman berguna
Hang Tuah bukti kejayaan bangsa terbilang
pewaris keterbilangan bangsa terpimpin
di zamannya, Melaka muncul pusat niaga
dari laut hingga ke darat
tumpuan pedagang seluruh dunia
bukti jayanya Laksamana Hang Tuah.
Sejarah lama jadikan ingatan dan peringatan
jatuh bangun angkara penjajah
semangat Hang Tuah jadi azimat
lahirlah sebuah tanah air merdeka!

Kini Melaka sudah ternama
rakyat mewah, ekonomi bertambah
jalan raya dinaik taraf, kemudahan rakyat terus diiktiraf
pekan kecil disusun molek, landskap ceria warna menarik
bandar berkembang menjadi besar
pelabur datang singgah berdagang
ditambah juga pelancong bertandang
Bandaraya Warisan Dunia segar bergema
Melaka Maju 2010 jadi agenda
di bawah pimpinan Ketua Menteri budiman
genap sedekad mentadbir negeri
1 Malaysia didokong bersama seluruh rakyat.



Dalam menjayakan visi negeri
muncullah kini Perbandaran Hang Tuah Jaya
terletak di tengah pusat negeri
3 daerah bersatu hati, 3 PBT saling memberi
pembangunan rancak terus dipergiat
dari urusan kerja hingga ke bidang intelektual
dari aspek pentadbiran hingga ke mercu era siber
semuanya menjadi satu, disusun mengikut zon
di sinilah terpacu Zon Pentadbiran, Zon R&D dan Hub Pendidikan,
Zon Enterprise , Zon Perdagangan, Zon Cyber Centre,
Zon Airport City, tidak dilupa Zon Pelancongan
dan juga Zon i-Village dan Tele-Suburb
semuanya dijayakan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Di mana bumi dipijak, langit dijunjung
di situ Hang Tuah Jaya menjadi kebanggaan seluruh isi Melaka
dari semangat Laksamana Hang Tuah, kita bina Hang Tuah Jaya – Bandaraya Pintar!

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

PUISI SEDEKAD PERJUANGAN BUAT Y.A.B. DATUK SERI HJ. MOHD. ALI MOHD. RUSTAM SEBAGAI KETUA MENTERI MELAKA





SEDEKAD PERJUANGAN
( BUAT Y.A.B. DATUK SERI HAJI MOHD. ALI BIN MOHD. RUSTAM )
DI PAGI PERHIMPUNAN KHAS 2 DISEMBER 2009 – SERI NEGERI

KARYA / DEKLAMATOR : FAIRUZAN HJ. ABDUL MAJID

Mari sama-sama kita tekuni
dan mentafsir erti sebuah perjuangan.
Melaka Negeri bertuah ini,
di sini menjadi saksi perjuangan seorang pemimpin
di sini menjadi bukti bijaksana seorang pewaris keterbilangan.

Di pagi ini, genap sedekad kita menghargai perjuangan seorang pemimpin
perjuangan seorang patriot bangsa, perjuangan seorang lelaki perkasa
adalah perjuangan seorang Ketua Menteri di Bumi Hang Tuah.

Ayuh, kita toleh sejenak akan paparan sejarah sedekad yang lalu
kemenangan bererti bermula tirai perjuangan
tanggal 2 Disember 1999 terlakarlah satu amanah sebuah diari
diari perjuangan Ketua Menteri
dahulu dipimpin kini memimpin
demi Melaka bumi bertuah.



Dalam membuka jendela baru
Melaka Maju 2010 menjadi tunjang pancang perjuangan
dalam arus sedekad perjuangan seorang pemimpin
Melaka terus tersohor hebat
sejarah menjadi bukti kemegahan negeri
Warisan Dunia menjadi kebanggaan
segala prasarana bertaraf dunia
ekonomi rakyat semakin baik
modal insan berminda IT semakin celik
pekan kecil disusun molek
jalan raya moden dihias cantik
landskap ceria dan lampu menarik
makmurnya Melaka terbersih, terindah.

Di bawah pentadbiran sedekad perjuangan seorang pemimpin
3 daerah maju bersaing
berbumbungkan pelancongan, lantainya pertanian, dindingnya industri
tiangnya dipasak kukuh semangat pemimpin berminda jauhari
bandar besar berkembang menjadi kota dagangan
lihatlah MiTC, Hang Tuah Jaya dan Bandaraya Melaka
telah muncul kota niaga, pasaraya ternama dan pelabuhan moden
menarik minat para juragan baik tempatan mahu pun luar
lantas terpacak Menara Taming Sari dan juga Eye On Malaysia
Sungai dan Pantai Melaka dijaga elok
mendamba pelancong singgah bertandang
produk makanan terus diperkenal
kelapa pandan, misai kucing, jus buah Melaka
tidak dilupa mangga ‘Melaka Delight’
selain tersergam hotel 5 bintang dan litar go-kart bertaraf antarabangsa
pembangunan sukan rancak melonjak
ke arah SUKMA di tahun depan
agama tetap dijunjung, budaya terus disanjung
gaya hidup sihat menjadi amalan, pendidikan jadi keutamaan
universiti dan kolej merentas persada teknologi maklumat
semuanya berkat kepimpinan cemerlang pemimpin perkasa!.

Dalam mengangkat gagasan 1 Malaysia
dialah pemimpin milik semua kaum
dalam perjuangan membela bangsa
dialah wira melayu terbilang
dalam kamar dewan persidangan
dia punya suara digeruni lawan
dalam membela nasib rakyat
dia mesra di sisi masyarakat
dalam memartabatkan Dunia Melayu Dunia Islam
dialah pejuang ad-Din di rumpun melayu
dalam memimpin para belia
dialah bapa sanjungan anak muda.

Pagi ini, setelah menekuni memoir sedekad perjuangan
kita terus berada di sampingnya
selagi perjuangan belum selesai,
kita terus berkhidmat dengan jitu
kita ikrar teguh janji
satu visi satu misi
Melaka Maju 2010.
Tahniah Yang Amat Berhormat Datuk Seri !