Rabu, 15 April 2009

ANAK LENGA BUKAN 'SLENGE'


Jauh di hulu Muar ada sebuah mukim. Namanya Mukim Lenga. Saya salah seorang yang berasal dari sana walaupun sudah menetap di Melaka tapi kad pengenalan masih tercatit alamat Kg. Gombang, Lenga 84040 Muar, Johor.

Ramai tak mengenali Lenga. Sesetengah yang tahu lenga itu bijan. ataupun bagi individu yang ada sindrom sengal-sengal ubi bolehlah digelar sebagai Slenge dek masyarakat di utara semenanjung khasnya di Selatan Perak.

Masa saya berada di Kuala Lumpur ke atau dekat sikit la...Melaka katakan. Kalau ada sesiapa tanya, asal mana? terus saya cakap, 'Muo..'(loghat untuk orang belah Muar) atau 'Pagoh'.Saya tak cakap saya asal dari Lenga. Bukan tak bangga yang kita ni berasal dari belah situ. Tapi nanti gerenti banyak tanya. 'Lenga tu kat mane?', 'belah mane?'...dsb.

Uniknya, kat belah Lenga ni ada satu yang boleh dikatakan istimewa mengenai loghat percakapan harian masyarakatnya selain terkenal dengan kesenian Zapin Lenga dan Ceracap Inainya. Masyarakat belah Lenga ni bila bercakap ada nada dan intonasinya yang tersendiri. Mereka tak menyebut 'engkau' tapi menyebut 'ngko' atau 'ngkape'. Mereka juga tak menyebut tuala tapi menyebut 'kensal', almari disebut 'ghobok', cadar disebut 'gebo' sebagai contohnya.


Dan ramai yang masih tak mengetahui bahawa hampir 90% filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Dato' Jins Shamsudin sekitar pembikinannya pada tahun 1982 dilaksanakan di Mukim Lenga. Uniknya, Sungai Muar yang luas deras mengalir dari Mukim Lenga berterusan hingga ke Muara Sungai Muar di Bandar Maharani. Babak jeti meletup dan balai polis terbakar juga dibuat penggambaran di Lenga.

Malah, hikayat melayu purba seperti Hikayat Malim Deman an Hikayat Gombang Malim Dewa juga adalah berlatar belakangkan Lenga sebenarnya.

Selain itu, Lenga juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh agama dan ilmuan terkenal di tanah air antaranya Allahyarham Kiyai Shamsudin ( datuk kepada Mufti Johor sekarang ini ), Pawang Pak Uda Atan di Kg. Gombang dan lain-lain.

Syabas juga kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, TPM kita kerana menerajui kepimpinan negara kerana Mukim Lenga dalam DUN Bukit Serampang juga adalah terletak di bawah Parlimen Pagoh.

Teruskan kepimpinan YAB TPM kita yang baru agar terus memajukan negara dan mukim Lenga.

Isnin, 13 April 2009

MENYERANG ZIONIS DARI DATARAN SUNGAI MELAKA


Malam Puisi:"Di Bawah Langit Gaza" meriah dengan kehadiran orang ramai dan
tetamu kenamaan yang terdiri dari YAB Datuk sEri Hj. Mohd. Ali Mohd. Rustam,
Ketua Menteri Melaka dan isteri

Dataran Sungai Melaka menjadi saksi perjuangan para deklamator terdiri dari para penyair tanah air, pemimpin-pemimpin tempatan Negeri Melaka dan selebriti terkenal tanah air dalam mengahantar mesej perjuangan dan keamanan melalui Malam Puisi: "Di Bawah Langit Gaza" pada 18 Februari yang lalu ( 6 hari sebelum hari ulang tahun kelahiran saya ke 27 ). Program puisi ini dianjurkan sepenuhnya oleh TV9 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan GAPENA untuk slot Rancangan Nasi Lemak Kopi O'.

Apa yang membanggakan ialah, program sebegini amat jarang dipertontonkan secara "live" kepada masyarakat tempatan di Melaka. Amat memberangsangkan ianya dilaksanakan secara baik dan bersepadu di antara Stesen TV swasta bersama-sama Kerajaan Negeri Melaka yang mana YB Datuk Hj. Othman Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) menggalas amanat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola untuk program ini. Sudah tentunya, promosi dan jemputan amat memuaskan dengan penglibatan semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga para pengunjung dan pelancong.

Antara deklamator yang turut terlibat dalam "menyerang Israel" melalui pembacaan puisi pada malam tersebut antaranya ialah YAB Ketua Menteri Melaka sendiri, YB Speaker DUN Melaka dan Yg. Bhg. Datin, Prof. Dr. Rahman Shaari, Dr. Ahmad Razali Yussof, Dr. Borhan Md. Zain, Cikgu Jamilah Ishak, Hj. Zazmie Zain and d' group dari Melaka fm. Malah tidak ketinggalan juga artis Nora dan penceramah agama dan motivasi iaitu Datuk Norbayah Mahmud turut sama mendeklamasikan puisi masing-masing.

Saya turut diundang membuat persembahan dengan mendeklamasikan Puisi "Telah Gugur Beberapa Nama Di Bawah Langit Gaza"

Pada malam tersebut Sdr. Aziz Desa menjadi teraju pengacara untuk menjemput deklamator beraksi di pentas. Namun, pada awal majlis saya dikehendaki oleh YB Speaker DUN Melaka untuk menjadi juruacara Rasmi memperkenalkan barisan tetamu kehormat dari Kerajaan Negeri Melaka kerana atas dasar saya adalah juruacara rasmi Majlis Protokol Kerajaan Negeri Melaka dari Jabatan Penerangan. Dan sesudah itu, barulah saya memindahkan tugas kepada Sdr. Aziz Desa.


Tanda sokongan memerangi keganasan di Gaza oleh Rejim Zionis


Meninggalkan tandatangan di kain rentang selepas mendeklamasi puisi



Bergambar bersama tokoh-tokoh penyair di pentas di akhir majlis

HANTU JUMAAT MALAM SABTU

Tiap kali kita membicarakan mengenai hantu, pasti kita akan merasa seram, takut dan berdebar dada untuk mendengar mahu pun melihat kelibat makhluk tersebut. Semalam selesai sudah saya menulis puisi mengenai Keliwon Rupawan. Al maklumlah, cerita Keliwon di TV3 yang disiarkan setiap Malam Jumaat kadang-kadang memualkan bagi sesetengah penonton. Memang perkara-perkara yang mengandungi unsur khurafat seperti membela toyol dan memuja ilmu hitam perlu dihidangkan untuk tontotan umum sebagai iktibar. Namun, seronok juga menyaksikan slot drama sebegini. Bukan tujuan memberi kredit kepada penerbit dan sutradaranya, tetapi ada baiknya generasi pada hari ini yang terlalu ketirisan ilmu datuk nenek kita didedahkan dengan perkara sebegini agar mencari pendidinding di jiwa. Kemodenan tidak menghalang perkara-perkara tahlul mahlul ni terus pupus kerana syaitan dan iblis akan terus menyesatkan umat manusia dalam apa cara sekalipun.

Sebab itulah saya terpanggil untuk menulis puisi Hantu Jumaat Malam Sabtu untuk sama-sama kita tekuni...



HANTU JUMAAT MALAM SABTU
Mereka menjelma dari tanah juga
bukan dari api, air juga angin.
Mereka muncul dari perut ibu-ibu juga
bukan anak jin atau toyol peminta harta menghisap darah.
Mereka terus menghidupkan sepertiga malam
bukan menjadi mualim di atas sejadah.
Mereka berada di lorong dengan imej berprestij
bukan beradu nasib di medan Piala Sri Endon.
Mereka memecut ribut di tengah jalan
bukan memulas kudrat di litar GP Sepang.
Dengan gah mereka menukar watak
menjadi bayi-bayi yang muncul dari api, air dan angin.


















Ahad, 12 April 2009


KELIWON RUPAWAN


Benar atau tidaknya
mereka mempesona setiap watak dan tindak
pada hakikat yang belum hakiki.


Sahih atau salahnya
mereka memperlaku setiap goda dan noda
daripada menemui makna tersendiri.


Keliwon rupawan ada di mana-mana
menjengah setiap mimpi kita
tidur di bawah langit terbuka
kala malam bulan di ambang
pendusta para nista
bertempik menghasut mengusut mimpi kita
sedang leka kita dibuai lena.


Keliwon rupawan berada di jiwa
mengepak panji-panji dosa dan pahala
tidak mengira mentari siang di balik purnama malam
kerana mereka sentiasa hidup
di bawah makmal insani kita
satu eksperimentasi yang belum sudah.




Rabu, 8 April 2009

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI BULAN MERDEKA (SDPBM)




SEJARAH PENCAPAIAN :

1. Bermula menyertai SDPBM pada tahun 1997 ( ketika Tingkatan 3 ) Peringkat Saringan Daerah Muar dengan mendeklamasi Puisi "Istana Kemerdekaan" karya Raihani Mohd. Saaid ( Anakanda kepada Penulis tersohor Tanah Air iaitu Dr. Zurinah Hassaan yang kini sahabat karib dan rakan gosip-gosipan saya). Masa tu, penganjurnya adalah Pejabat Penerangan Daerah Muar. Boss nya En. Ahmad Dhabal, Pegawai Penerangan Daerah Muar ( kini menjadi boss saya di Jabatan Penerangan Melaka).

2. Tahun 1998 pula saya takde modal nak hafal puisi lain, jadi saya bawa sekali lagi Puisi "Istana Kemerdekaan" karya Raihani dan seterusnya juara Peringkat Daerah Muar dan seterusnya ke Peringkat Akhir Negeri Johor.

3. Namun berbeza pada Tahun 1999, mungkin dipengaruhi oleh semangat Juara Deklamator Kebangsaan tahun yang lalu iaitu Nur Zailani Mohd. Nuzi wakil dari Selangor yang telah memenangi SDPBM 1998 dengan mendeklamasikan Puisi "Nyanyian Pembebasan Perahun" karya Badaruddin M.Z., saya pun turut membawa puisi tersebut untuk pertandingan Peringkat Daerah Muar dengan mendapat tempat ke -4 ( maklumlah, masa tu suara budak-budak sekolah lagi kan...).

4. Seterusnya, apabila melangkah ke IPTA di UiTM pada tahun 2000 saya mewakili UiTM dalam SDPBM 2000 dengan mendeklamasikan Puisi "Di Halaman Kembang Sepatu Ini, Selamanya Sejahteralah Warga" nukilan Allahyarham Sazalee Hj. Yaakob dan seterusnya mendapat tempat ke-3 Peringkat IPTA ( johan pada ketika itu ialah Dulamid Rudin dari UPSI dan Amirudin dari UPM ).

5. Tahun 2001 pula, saya telah mencuba nasib bertanding luar dari kepompong IPTA dengan bertarung di SDPBM Peringkat WP Kuala Lumpur dengan mendeklamasikan Puisi "Salam Perjuangan Srikandi Bangsa" karya Lim Swee Tin. Walaupun tewas, saya tetap berpuas hati kerana kalah pun dapat sebiji kamera ( kerana penganjur masa tu adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang umum sudah sedia maklum bahawa bab hadiah dari sekecik anak kalau DBKL anjurkan 'confirm gempaq' punyerr.

6. Seterusnya, tahun 2002 pula saya berjaya meraih Juara SDPBM 2002 Peringkat WP Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh DBKL yang diadakan di Lanai Seni Tunku Abdul Rahman dengan mendeklamasikan Puisi "Mantera Anak Wawasan" karya Borhan Md. Zin. Dan seterusnya kenangan manis tidak berakhir setakat itu sahaja, kerana setelah berjaya mewakili WP Kuala Lumpur buat pertama kali menjejakkan kaki ke SDPBM Peringkat Kebangsaan 2002 di Kangar Perlis, saya telah berjaya merangkul tempat ke-3 Kebangsaan ( pada ketika itu Johan adalah Nor Hasnida dari Perlis dan Naib Juara adalah Intan Marhayu Rahman dari Selangor ).

7. 2003 pula saya cuma dapat Naib Johan SDPBM Peringkat WP Kuala Lumpur dengan membawa Puisi "Menyelusuri Sungai Merdeka" karya Shahrulnizam Abdul Talib. Dapatlah bawa pulang RM 500.00 dan sebuah peti sejuk jenama Sharp yang masih lagi berfungsi menyimpan botol tempoyak dan sos tomato yang saya letak di kampung saya di Muar Johor.

8. Ibarat sirih pulang ke gagang, pada tahun 2004 pula saya kembali bertanding Peringkat IPTA dengan mewakili UiTM yang pada ketika itu tuan rumahnya adalah di UPSI Tanjung Malim. Saya cuma mendapat Tempat ke-3 setelah membawa Puisi "Untukmu, Aduhai Negeriku" karya Marsli N.O. ( johan ketika itu Afifah Abdullah ( adik kepada Syukri Abdullah ) dari UIAM dan Kedua dari UM ).

9. Tahun 2005, saya mula bertugas sebagai Pegawai Pemasaran Unit Pelancongan Pelajar di Taman Mini Malaysia dan ASEAN Melaka di bawah pengurusnya Pn. Noraniza Idris ( Ratu Irama Tradsional Malaysia ). Tahun itu juga, saya menjadi Johan SDPBM 2005 dengan membawa Puisi "Aksara Merdeka" karya Wadi Leta S.A. dan seterusnya mewakili Melaka ke SDPBM Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru. Walaupun tidak berjaya merangkul sebarang tempat pada kali ini, saya tetap berbangga menjadi deklamator Malaysia pertama dalam Sayembara Deklamasi Puisi membawa Puisi Jamung Merdeka karya Razali Mohd. Yussof yang pada ketika itu Teks Jamung Merdeka hanya mula diperkenalkan di Peringkat Kebangsaan Tahun 2005.

10. Tahun 2006 pula, saya mendapat tempat ke-3 SDPBM Peringkat Negeri Melaka dengan membawa puisi "Gemuruh Langit Kita" karya Norhisham Mustafa.

11. Tahun 2007 saya juara SDPBM Negeri Melaka melalui Puisi "Bersila di Atas Tikar Merdeka" karya Allahyarham Adam Mohd. Noor. Seterusnya wakili Melaka ke SDPBM Peringkat Kebangsaan.

12. Sebagai juara menanti, saya masih mampu bertahan dengan merangkul Juara SDPBM 2008 melalui Puisi "Ayahku, Seorang Penjual Roti" karya Zainal Rashid Ahmad dan sekali lagi berjaya ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan.

13. Tahun 2009 ini mungkin akan berlaku sekali lagi sejarah dan juga transformasi dalam SDPBM, saksikan dan terus saksikan!

LAMAN DEKLAMATOR - MEWAJAH AKSI PUISI


"Telah dipilih daripada pohon mengkuang terbaik
di tanah gembur berlembah subur makmur ini..."

Semasa mendeklamasikan Puisi "Bersila Di Atas Tikar Merdeka"
nukilan Allahyarham Adam Md. Noor
di SMK Seri Tanjung sempena Majlis Penghayatan Bulan Merdeka 2008


Semasa mendeklamasikan Puisi "Ayahku, Seorang
Penjual Roti" Karya Zainal Rashid Ahmad


Aksi Juara Sayembara Deklamasi
Puisi Bulan Merdeka Peringkat Negeri Melaka
tahun 2008

"Tak ada yang lebih kukenang kalau bukan
sebatang kayu kandar pusaka tinggalan
Almarhum ayah."

Penyampaian cenderahati semasa
menjadi juri Pertandingan Puisi Ambang Merdeka
Peringkat DUN Telok Mas Melaka

Persembahan Deklamasi Puisi mengisi slot
Sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos 2008
Peringkat Negeri Melaka di hadapan TYT
Yang Di Pertua Negeri Melaka

Mendeklamasikan Puisi
"Jamung Merdeka" karya
Razali Mohd. Yussof

"Mari kita imbau, selembar demi selembar
episod air mata tanahair"

Menghayati Puisi "Di Halaman Kembang Sepatu Ini,
Selamanya Sejahteralah Warga" Karya
Allahyarham Sazalee Hj. Yaacob









Selasa, 7 April 2009

DEKLAMASI PUISI - MERIAH DAN GAH MENGISI SLOT AMBANG MERDEKA 2008 DI MELAKA


Tiap kali memasuki kalendar Ogos banyak aktiviti telah dirangka oleh mana-mana Jabatan, NGO's, Swasta dan pelbagai pihak baik ternama atau tanpa nama.
Di Negeri Melaka contohnya, pada tahun 2008 yang lalu, Slot Deklamasi Puisi merupakan pengisian wajib yang perlu ada tiap kali pelbagai pihak mengadakan Program Ambang Merdeka di musim Bulan Merdeka.
Tahun lepas sahaja, saya telah memenuhi pelbagai undangan untuk persembahan Deklamasi Puisi. Antaranya Sambutan Hari Kebangsaan di Hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir Melaka, Malam Ambang Merdeka di Kompleks Japerun DUN Ayer Molek Melaka, Perhimpunan Pagi di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang Melaka ( Sahabat saya Cikgu Jamilah Ishak yang merupakan bekas Johan SDPBM Negeri Melaka 2003 yang mengundang saya ) serta pelbagai acara pertandingan yang mana saya menjadi juri dalam Majlis tersebut.
Sebagai deklamator berpengalaman, saya tidak khusus kepada 1 atau 2 Puisi Patriotik sahaja untuk dideklamasikan yang biasanya saya hafal dari Teks Antologi Puisi Jamung Merdeka Terbitan GAPENA. Pendek kata, untuk menjadi deklamator yang hebat, kita perlu menjadi 'tahfiz' puisi ( Hafal sebanyak mana puisi-puisi dalam Jamung Merdeka atau mana-mana puisi patriotik dari sumber lain ) agar setiap majlis yang kita hadiri akan menampilkan pelbagai variasi puisi yang berlainan untuk menarik minat khalayak ( kerana biasanya khalayak untuk majlis puisi orang-orang itu jugak...).

BENGKEL TEKNIK PEMANTAPAN DEKLAMASI PUISI PATRIOTIK




Pada 21 Februari 2009 yang lalu, saya telah mengadakan Ceramah mengenai Teknik Pemantapan Deklamasi Puisi Patriotik anjuran Kelab Setia SMK Seri Tanjung di Tanjung Kling Melaka di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah.

Bengkel seperti ini adalah julung-julung kali diadakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka walaupun Jabatan Penerangan tidak lagi menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka sejak Tahun 2005 ( sekarang diambil alih oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan GAPENA ).





Saya telah memainkan peranan penting dalam memberi ceramah untuk Bengkel ini kerana saya dipilih atas dasar individu yang aktif dalam bidang deklamasi puisi di Negeri Melaka yang juga seorang Kakitangan Jabatan Penerangan dan telah beberapa kali menjadi Johan Negeri Melaka sejak 2005, 2007 dan 2008.

Tujuan Bengkel ini diadakan adalah untuk melahirkan bakat-bakat muda di kalangan Pelajar Menengah Atas Kelab Setia Sekolah-Sekolah Menengah Di Daerah Melaka Tengah dalam bidang Deklamasi Puisi. Selain dapat mempelajari teknik-teknik yang betul dalam deklamasi puisi untuk menjadi seorang deklamator yang baik pada masa akan datang.

Di akhir penghujung Bengkel, peserta-peserta dapat menunjukkan hasil dengan mendeklamasikan puisi-puis patriotik yang diberikan dari Antologi Jamung Merdeka Terbitan GAPENA.