Selasa, 17 Mac 2009

DALAM DEBAR DALAM DEGUP

Dalam kita merungkai dan meniliti bait-bait puisi mengikut trend isu semasa yang berlaku di sekeliling kita termasuk isu politik hangat, harga barang naik dan isu keganasan di Gaza, saya terpanggil untuk menjamu minda semua yang melawat akumurba dengan puisi-puisi mengenai ruang lingkup diri dan peribadi setiap insan.

Puisi ini pernah menjadi puisi dekon yang pernah dipersembahkan di Slot Anjung Budi RTM 1 sekitar tahun 2002 berduet dengan Nik Sayyidah Fatiha Yazib ( Mek Siti Salam Pantai Timur ).Lewatilah ia:

DALAM DEBAR DALAM DEGUP

Debar dan degup
mengilir angin serong yang menyusup-nyusup.

Debar dan degup
menerjah angin sentap yang mencucuk-cucuk.

Debar dan degup
bertebaran di setiap tubuh mandiri
debar dan degup
melontar makna isyarat kata
debar dan degup
memberi erti setiap tindak.

Debar mendamba makna mulia
degup menghajati erti setia.

Aduh,
debar dan degup
yang semakin parah di jiwa
mengilir parah hati
menghiris luka sendiri
menggilis jiwa mandiri.

Biar
aduh setiap debar dan degup
bertancap di setiap relung iman nurani
bertatang susila jiwa murni
bertaman di tubuh mandiri:
kerana kitalah empunya diri
kerana kitalah figura yang mencari
kerana kitalah insan pemilik makna tersembunyi
dari relung insani
kita memiliki setiap aduh,
debar dan degup
dan kitalah jua yang punya cinta
lagi kasih mengasihi.

Aduh,
resahku memeningkan dan memusingkan dalam debar,
dalam degup?

Selamat datang ke akumurba

Assalamualaikum W.B.K.
Salama Sejahtera buat semua kenalan dan juga teman.


Alhamdulillah...syukur yang amat sangat ke hadrat Allah. S.W.T. kerana tercipta juga laman akumurba ini untuk saya memuatkan serba sedikit info, pengalaman, idea, karya dan sbg untuk tatapan semua dan teman-teman seperjuangan khasnya peserta-peserta Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Merdeka dari tahun 1998 hingga kini.

Ruangan akumurba ini pastinya akan dapat mengeratkan tali silaturahim antara kita dan pastinya ruang lingkup seni puisi tanah air akan terus segar mengikut deras globalisasi hari ini.

Selamat melawati akumurba dan terus memberi sebarang komen untuk dunia puisi yang terus manganjak transformasi nirmala...